PETALING JAYA: Sebarang produk pelancongan yang memerlukan naik taraf perlu dibincangkan secara teliti bersama pihak berkaitan agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada industri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam hal ini, acara unsur kebudayaan perlu diperbanyakkan sebagai langkah mempromosi dan memperkenalkan Negeri Sembilan dengan lebih meluas kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Keseluruhan lawatan ini meyakinkan saya bahawa Negeri Sembilan mempunyai tarikan pelancongan yang unik, berdaya saing dan ‘sellable’ iaitu kedudukan geografi yang strategik berhampiran KLIA, berada di tengah antara Melaka dan Kuala Lumpur, kaya dengan warisan sejarah, keindahan seni bina, keunikan budaya, keaslian makanan tradisional hinggalah kreativiti komuniti setempat.
“Justeru, saya menyeru semua pemain industri pelancongan, seni dan budaya untuk terus berganding bahu memperkukuh ekosistem pelancongan negeri ini. Usaha ini bukan sahaja menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 (VM2026), tetapi juga menjayakan Visit Negeri Sembilan Year 2026, sekali gus melonjakkan Negeri Sembilan sebagai destinasi unggul di pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Lawatan kerja berkenaan sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan keterangkuman dalam pembangunan industri pelancongan.
MOTAC yakin, melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, komuniti setempat serta pemain industri, Negeri Sembilan akan terus menjadi antara destinasi utama pelancongan negara.
Terdahulu, menteri mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Negeri Sembilan bagi meninjau dan menilai potensi pelbagai produk pelancongan, seni dan budaya negeri ini.
Turut serta, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, Pengarah MOTAC Negeri Sembilan, YBrs. Dr. Rackmawatie binti Lokman, dan wakil-wakil agensi berkaitan.
Dalam pada itu, King Sing turut berkata, lawatan tersebut membuktikan bahawa Negeri Sembilan kaya dengan tarikan yang berteraskan sejarah, budaya, warisan, seni dan kulinari tempatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman yang diperoleh sepanjang empat hari lawatan memberi gambaran jelas tentang kepelbagaian produk pelancongan negeri ini yang mampu menarik pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Antara lokasi utama yang dilawati termasuk Muzium Tentera Darat, Port Dickson iaitu lokasi ikonik yang menyimpan khazanah sejarah pertahanan negara dan berpotensi besar diperkasakan sebagai produk pelancongan utama.
Selain itu, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson yang menempatkan pelbagai spesis marin termasuk penyu dan ikan eksotik, dengan potensi besar untuk dikembangkan sebagai pusat pendidikan dan rekreasi berasaskan marin, terutama untuk keluarga dan pelajar.
“Homestay D’Pelandok Best memberi pengalaman bersama komuniti setempat melalui aktiviti mencanting batik, membuat roti jala dan kuih ketayap, yang mencerminkan keaslian budaya dan kulinari tempatan,” katanya.
Antara lain, Dickson Dragon Cruise, iaitu antara produk pelancongan berkonsepkan pelayaran yang bukan sahaja menawarkan pengalaman unik, tetapi juga berpotensi menjadi acara utama dalam Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Begitu juga Lorong Seni Seremban, dimana lorong sepanjang 250 meter dengan hampir 30 mural kreatif yang pada waktu malam meriah dengan aktiviti komuniti, memaparkan sinergi seni, budaya dan kreativiti sebagai tarikan bandar. – UTUSAN