SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta supaya manfaat pembangunan yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam dapat dilaksanakan segera mengikut perancangan ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menerusi belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, antara projek pembangunan di negeri ini melibatkan pembinaan persimpangan Lebuhraya Utara Selatan untuk pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV).
Katanya, selain itu, Negeri Sembilan bakal mendapat Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai Pedas di Rembau, naik taraf struktur jalan utama Palong serta persimpangan Palong 7,8 di Jempol selain peruntukan bagi pemuliharaan Pantai Telok Kemang.
“Kita kena laksanakan dengan segera kerana kita sudah hampir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)Kerja-kerja yang tertunggak, tertangguh diharap tidak berlaku pada RMK-13 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Nadi Guru Madani 2025, di sini, hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan yang menepati golongan sasaran serta mengutamakan rakyat selain memberi manfaat cukup besar buat pembangunan di negeri-negeri.
Katanya, belanjawan berkenaan juga memberikan gambaran baik mengenai usaha kerajaan dalam memberikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi khususnya kepada golongan sasaran.
“Belanjawan semalam (2026) itu ada banyak manfaat yang diberikan secara terus kepada rakyat contohnya seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada segi pertambahan manfaat bantuan tersebut.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga mengalu-alukan usaha baik dalam pemberian pendidikan percuma kepada pelajar terdiri daripada keluarga miskin di peringkat pengajian tinggi. Itu adalah permulaan kepada usaha murni pendidikan percuma ini,” katanya. – UTUSAN










