Mansuh kuasa veto Majlis Keselamatan

Mansuh kuasa veto Majlis Keselamatan

MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 di New York, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mahu kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dimansuhkan agar sebarang konflik dan jenayah kemanusiaan dapat ditangani segera.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kuasa veto sering disalahgunakan hingga menyekat usaha global menghentikan konflik dan kekejaman sekali gus mengorbankan lebih banyak nyawa orang awam.

“UNSC perlu direformasi dengan mengehadkan atau memansuhkan kuasa veto supaya dunia tidak terus terjerumus dalam kebuntuan ketika berdepan jenayah kemanusiaan.

“Kita tidak boleh lagi berdiam diri melihat suara kita diketepikan. Kuasa veto ini mesti dipersoalkan, dicabar dan dimansuhkan.

“Majlis Keselamatan perlu dibebaskan daripada kebuntuan yang memalukan ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 di New York, semalam.

Mohamad turut menggesa agar kuasa dikembalikan kepada Perhimpunan Agung PBB yang dianggap sebagai badan paling inklusif dan benar-benar mencerminkan suara dunia.

Katanya, isu Palestin telah membayangi PBB hampir sepanjang kewujudannya, apabila 77 daripada 80 tahun sejarah pertubuhan itu dipenuhi dengan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.

“Jika kita gagal menyelesaikan isu ini, rakyat dunia akan hilang keyakinan terhadap PBB serta sistem antarabangsa kerana ia jelas merupakan satu bentuk penjajahan moden,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menzahirkan kekecewaan terhadap langkah Amerika Syarikat (AS) yang sekali lagi menggunakan kuasa veto buat kali keenam bagi menggagalkan resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata kekal di Gaza.

Resolusi berkenaan sebelum itu mendapat sokongan 14 anggota lain Majlis Keselamatan yang menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai satu bencana.

Selain itu, Mohamad juga turut menggesa PBB agar mengenakan sekatan terhadap Israel serta tidak membiarkan kekejaman rejim Zionis di Asia Barat terus merebak hingga mengancam keamanan dunia.

Beliau berkata, serangan terbaharu Israel di Doha, Qatar bukan sekadar serangan terhadap beberapa wakil Hamas, sebaliknya mencabul kedaulatan sebuah negara dan menghina segala usaha pengantaraan yang dijalankan oleh masyarakat antarabangsa.

“Serangan ini jelas menunjukkan keganasan Israel akan terus menggugat kestabilan rantau itu dan kesannya pasti merebak ke seluruh dunia.

“Kekejaman ini mungkin bermula dengan Palestin, tetapi ia pasti tidak akan berakhir dengan Palestin. Ketika Timur Tengah semakin berbahaya untuk penduduknya, dunia turut akan merasainya.

“Inilah sebabnya mengapa sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” katanya sambil menegaskan Malaysia kekal komited menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui pelbagai langkah termasuk menerusi Deklarasi New York.

Mohamad juga berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menegaskan rantau ini tidak boleh hanya bergantung kepada PBB bagi menyelesaikan konflik, sebaliknya perlu mengambil tindakan sendiri demi mengekalkan kestabilan serantau.

Katanya, ASEAN telah membuktikan kemampuan dengan mempertemukan pihak-pihak yang bertelagah, mencapai persetujuan gencatan senjata serta kini memantau pelaksanaannya di lapangan.

“Apabila konflik hampir memuncak antara jiran kita, ASEAN tidak berpeluk tubuh. Kita perlu bertindak segera dengan mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN