PETALING JAYA: Cadangan menjadikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak akan melemahkan kedudukan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan membuka jalan kepada penghakisan kuasa Persekutuan.
Peguam terkemuka, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim berkata, langkah itu tidak hanya menjejaskan daya saing komersial syarikat minyak negara dalam pasaran gas asli cecair (LNG) dan margin hiliran.
“Tindakan itu juga bakal memberi isyarat bahawa negeri kini boleh mengambil alih fungsi yang sepatutnya dikuasai kerajaan Persekutuan.
“Jika negeri boleh mengambil alih fungsi ini, ia akan membuka pintu kepada rampasan hasil persekutuan oleh negeri, seterusnya menghakis asas Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Menurutnya, keadaan itu selari dengan amaran bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mendakwa reputasi Petronas sebagai khazanah negara semakin tercalar apabila ia dijadikan bahan tawar-menawar politik demi kepentingan jangka pendek.
“Kelewatan kerajaan Persekutuan menyelesaikan pertikaian dengan PETROS hanya mengukuhkan tanggapan bahawa Petronas sedang digadai demi kelangsungan politik.
“Petronas bukan sekadar syarikat minyak, ia lambang kedaulatan ekonomi negara,” katanya. Zaid menyifatkan penangguhan kes di Mahkamah Tinggi Kuching berhubung jaminan Petronas bagi memberi laluan kepada rundingan hanya menambah ketidaktentuan dan melemahkan keyakinan pelabur.
“Lebih membimbangkan, injuksi Shell untuk menghalang pembayaran RM560 juta kerana terdapat tuntutan bertindih dengan PETROS adalah satu tamparan besar.
“Ini kali pertama sebuah syarikat antarabangsa terpaksa memohon penjelasan kerana tuntutan serupa dan ia memberi imej buruk bahawa Petronas tidak lagi berkuasa mutlak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menolak tuntutan Sarawak terhadap pembayaran RM10 bilion setiap tahun yang menurutnya tidak mempunyai asas perundangan persekutuan.
“Jika ada ruang kompromi, ia mungkin melalui perkongsian hasil hiliran dalam Sarawak tetapi bukan daripada perdagangan LNG peringkat nasional,” katanya.
Zaid turut menggesa autonomi imigresen Sarawak dikaji semula kerana apabila dijadikan senjata terhadap kakitangan Petronas, ia boleh melumpuhkan operasi syarikat.
“Isu ini sebenarnya bukan soal undang-undang kerana Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sudah jelas memberi mandat penuh kepada Petronas,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengecam sikap kerajaan yang menurutnya hanya mengeluarkan deklarasi bersama tanpa penyelesaian muktamad, sekali gus menambahkan kekeliruan dalam kalangan pelabur dan rakyat.
“Seperti ditegaskan Ku Li, Petronas kini diperdagangkan demi kepentingan politik jangka pendek. “Jika ini berterusan, bukan sahaja kedudukan Petronas akan terjejas, tetapi integriti struktur Persekutuan Malaysia juga bakal runtuh,” katanya. – UTUSAN