PARLIMEN: Petronas, Petros belum muktamad agihan gas di Sarawak - Azalina

PARLIMEN: Petronas, Petros belum muktamad agihan gas di Sarawak – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengagihan gas di Sarawak antara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) masih belum dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penjelasan lanjut mengenai peranan, tanggungjawab dan pengaturan komersial memerlukan penjelasan daripada kedua-dua pihak sebelum ia dimuktamadkan.

“Sehubungan dengan itu, kesan terhadap kedudukan kewangan Petronas secara amnya dan keupayaan untuk terus membayar cukai dan dividen kepada Kerajaan Persekutuan khususnya seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang Persekutuan belum dapat ditentukan.

“Kesan sepenuhnya akan bergantung kepada terma-terma komersial dan mekanisme pelaksanaan yang bakal dimuktamadkan kelak,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta kerajaan menyatakan kesan ke atas kedudukan kewangan Petronas jika syarikat minyak negara itu menyerahkan pengawalseliaan hidrokarbon di Sarawak kepada Petros.

Menjawab soalan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengelak pertindihan kuasa antara dua syarikat tersebut, Azalina berkata, jawapan rasmi diterima daripada Petronas adalah ia dalam pertimbangan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, kerajaan menghormati kebebasan badan kehakiman dan akur kepada keputusan mahkamah.

“MA63 merupakan dokumen asas yang menetapkan terma-terma pembentukan Malaysia, termasuk hak dan autonomi Sarawak dan Sabah dalam beberapa bidang tertentu.

“Walau bagaimanapun, MA63 tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau kawal selia sumber minyak dan gas, serta tidak mengatur peranan entiti petroleum seperti Petronas atau Petros,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan dan kawal selia industri minyak dan gas ditentukan melalui perundangan persekutuan, khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) dan Petronas diletakhakkan seluruh pemunyaan mengenai petroleum dan hak, kuasa, kebebasan serta keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia.

“Sementara pemilikan dan hak pengurusan petroleum kekal di bawah Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial yang dimeterai antara Petronas dan Sarawak pada 7 Disember 2020, Petronas telah menjalin kerjasama strategik dengan Petros merangkumi sektor huluan hingga hiliran.

“Perjanjian ini dirangka untuk membuka jalan bagi penyertaan lebih aktif Petros dalam rantaian nilai minyak dan gas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×