Petronas gagal tukar saman Shell MDS kepada perbicaraan penuh

Petronas gagal tukar saman Shell MDS kepada perbicaraan penuh

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) gagal untuk menukar prosiding saman pemula yang difailkan oleh Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd. kepada perbicaraan penuh.

Dalam prosiding saman pemula (originating summons), ia diputuskan berdasarkan dokumen bertulis seperti afidavit dan perjanjian tanpa perlu memanggil saksi serta melibatkan isu undang-undang sahaja dan tiada pertikaian fakta antara pihak-pihak.

Perbicaraan penuh writ saman membabitkan pertikaian fakta dan memerlukan keterangan lisan, saksi, soal balas dan bukti yang lebih terperinci.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib menolak permohonan Petronas selepas mendapati isu yang dibangkitkan membabitkan persoalan undang-undang dan bukannya fakta yang dipertikaikan.

Ujar hakim itu, pertikaian berhubung pembayaran bekalan gas antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) adalah berkaitan tafsiran perjanjian jual beli gas dan instrumen kerajaan.

“Tiada keperluan untuk penukaran kepada writ kerana isu ini tidak melibatkan pertikaian fakta atau kredibiliti saksi. Ia adalah isu undang-undang yang boleh ditentukan berdasarkan dokumen,” katanya.

Hakim Mahazan juga menyatakan perbicaraan penuh hanya akan melambatkan penyelesaian kes.

Shell MDS memfailkan saman pemula pada November 2024 berhubung pembayaran bekalan gas ke loji mereka di Bintulu sama ada bayaran perlu dibuat kepada Petronas atau Petros, selepas menerima invois daripada kedua-dua pihak.

Shell MDS menandatangani perjanjian bekalan gas dengan Petronas pada 2020 dan dengan Petros pada 2024, susulan pengisytiharan Petros sebagai pengumpul tunggal gas di Sarawak.

Pada prosiding hari ini, Petronas diwakili peguam-peguam, Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Aziz manakala Petros diwakili peguam-peguam, Foo Joon Liang, dan Shell MDS diwakili peguam, Christopher Leong serta Janet Chai Pei Ying.

Mahkamah menetapkan 10 November untuk pengurusan kes secara dalam talian.

Sementara itu, Petros turut memfailkan saman berasingan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching bagi menghalang syarikat itu daripada menggunakan jaminan bank milik Petros untuk pembayaran gas, atas alasan Petronas tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Sarawak mengikut undang-undang negeri.

Pada 22 September lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Shell MDS membuat pembayaran berhubung pembekalan gas kepada Petronas yang dianggarkan melebihi RM500 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan sedemikian selepas membenarkan rayuan Petronas untuk mengetepikan injunksi mandatori yang menghendaki syarikat minyak dan gas itu terus membekalkan gas tanpa menerima sebarang bayaran setakat ini.

Petronas juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung dengan Jaminan Bank.

Shell MDS memohon supaya Petronas dihalang daripada membuat tuntutan ke atas jaminan itu, menerima atau menggunakan hasilnya, serta memohon pemulangan semula hasil yang telah diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN