KUALA TERENGGANU: McDonald’s Malaysia meneruskan komitmen membantu masyarakat dengan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Buruk, di sini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, McDonald’s Malaysia sentiasa menunaikan kewajipan zakat perniagaan di setiap negeri berdasarkan keuntungan yang diperoleh.
“Syukur Alhamdulillah, pada tahun ini kami dapat menyempurnakan Rukun Islam ini kepada masyarakat di seluruh negeri termasuk Terengganu.
“Keprihatinan kepada masyarakat adalah teras perniagaan kami dan sokongan berterusan menjadikan syarikat berkembang maju. Justeru, kami bukan sahaja menunaikan zakat kerana kewajipan, tetapi juga menyantuni komuniti dengan Kotak Rezeki dan hidangan percuma.
“Ini membuktikan McDonald’s Malaysia bukan syarikat yang mementingkan keuntungan semata-mata. Kami percaya, ia adalah tanggungjawab bagi yang berkemampuan untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
ANTARA penerima sumbangan Kotak Rezeki di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Sejak 2017, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat keseluruhan lebih RM12 juta di seluruh negara, termasuk RM921,000 kepada Terengganu.
Tahun ini, buat pertama kali syarikat itu mengadakan jelajah ke 14 negeri untuk menyerahkan zakat kepada setiap majlis agama Islam negeri.
Di Terengganu, selain penyerahan zakat, sebanyak 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian diagihkan kepada keluarga asnaf, manakala 1,000 hidangan percuma disediakan kepada pelanggan yang hadir.
Inisiatif ini juga akan turut dijalankan di semua lokasi penyerahan zakat yang McDonald’s Malaysia akan kunjungi pada tahun ini.
McDonald’s Malaysia, yang dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam sejak diambil alih oleh Azmir melalui Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. pada 2017, kini mengoperasikan lebih 370 restoran di seluruh negara.
Selain pembayaran zakat, syarikat itu melaksanakan lebih 10,000 inisiatif kemasyarakatan setiap tahun, termasuk bantuan kepada anak yatim, warga emas, jemaah masjid dan mangsa banjir.
Komitmen itu menunjukkan McDonald’s Malaysia bukan sekadar restoran, tetapi adalah jiran yang prihatin kepada komuniti, selari tuntutan Islam agar golongan berkemampuan membantu mereka yang memerlukan.