Ketegangan Petronas–Petros ancam aliran dividen kepada kerajaan

Ketegangan Petronas–Petros ancam aliran dividen kepada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rafizi akui tuntutan Sarawak wajar, namun isu gas berisiko jejaskan kestabilan ekonomi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli menegaskan rundingan antara Petronas dan Petros berhubung pemilikan serta agihan hasil gas perlu diurus dengan teliti kerana pelaksanaan yang cuai boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Beliau memberi amaran bahawa tuntutan hasil gas oleh Sarawak, jika tidak mengambil kira struktur kewangan sedia ada, berpotensi menyebabkan Petronas kehilangan RM15 bilion hingga RM20 bilion setahun.

“Kehilangan ini bukan jumlah kecil,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Yang Berhenti Menteri yang membincangkan isu Petros, Petronas dan kesannya terhadap ekonomi negara.

Menurut beliau, Petronas ketika ini menyumbang antara RM30 bilion hingga RM35 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadi sumber utama untuk membiayai perkhidmatan awam asas.

Sumbangan Petronas kepada negara

Dividen Petronas digunakan untuk membiayai pelbagai kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya, pencen serta gaji kakitangan kerajaan termasuk di Sarawak.

“Walaupun duit itu tidak masuk terus ke akaun kerajaan negeri, pembangunan di Sarawak seperti sekolah, hospital dan prasarana datang daripada dana Persekutuan hasil dividen Petronas,” kata Mohd. Rafizi.

“Jika Petronas kehilangan RM20 bilion, katanya, syarikat itu akan sukar mengekalkan pembayaran dividen sebanyak RM35 bilion kepada Kerajaan Persekutuan. 

“Keadaan ini boleh menjejaskan penarafan kredit negara dan meningkatkan kos pinjaman kerajaan secara mendadak,” katanya.

Ketika ini, Malaysia membayar kira-kira RM48 bilion setahun untuk faedah hutang dan angka itu boleh meningkat kepada RM60 bilion jika penarafan kredit merosot ekoran ketidaktentuan dasar minyak dan gas.

Pertindihan undang-undang 

Isu ini menjadi rumit kerana pertindihan antara Akta Pembangunan Petroleum dan Ordinan Perlombongan Minyak. Sarawak berhujah ia memiliki sempadan maritim sejauh 200 batu nautika berdasarkan hak sebelum menyertai Malaysia pada 1963.

Sebaliknya, undang-undang Persekutuan seperti Akta Pelantar Benua memperuntukkan hak pengeluaran minyak dan gas di luar tiga batu nautika di bawah bidang kuasa Persekutuan, sekali gus milik Petronas.

Mohd. Rafizi mengakui Sarawak berhak menikmati hasil bumi yang lebih besar, tetapi menegaskan tuntutan tersebut perlu dibuat dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan keyakinan pelabur.

“Jika pelabur melihat dasar minyak dan gas kita tidak stabil, mereka akan tarik diri. Industri ini memerlukan pelaburan berbilion ringgit. Kalau suasana politik dan dasar tidak menentu, pelabur boleh pilih ke Indonesia, Surinam atau negara lain,” katanya.

Beliau memberi contoh langkah ConocoPhillips menarik diri daripada projek carigali di Sarawak, dipercayai akibat ketidaktentuan dasar dan perundangan, selain tindakan Shell memfailkan injunksi terhadap Petros berhubung hak pengurusan serta pemilikan sumber gas.

Perkembangan ini menandakan terdapat pertindihan bidang kuasa antara Petronas, Petros dan kerajaan Sarawak yang kini menjadi perhatian dalam kalangan pelabur industri. 

Walaupun rundingan masih berjalan, tindakan undang-undang oleh pemain antarabangsa menunjukkan betapa perlu penyelesaian yang lebih jelas dan tersusun bagi memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas.

Risiko pelabur tarik diri

Mohd. Rafizi memberi amaran bahawa pelabur yang melabur berdasarkan kontrak jangka panjang boleh menarik diri jika perjanjian berubah secara unilateral, sekali gus merosakkan keyakinan terhadap Malaysia.

Sebagai contoh, Ordinan Pengagihan Gas yang memberikan hak penuh kepada kerajaan Sarawak untuk menguruskan hasil gas telah menyebabkan Petros mengambil alih pengurusan dan pengedaran, walaupun kontrak jual beli gas antarabangsa sebelum ini dimeterai oleh Petronas.

Kontrak-kontrak tersebut lazimnya berjangka 30 tahun dengan pelaburan awal mencecah berbilion ringgit, seperti pembinaan loji pemisahan gas di Bintulu bernilai RM6 bilion.

“Jika tiba-tiba ada pihak meminta tambahan RM15 bilion di luar perjanjian asal, dari mana dana itu hendak diperoleh? Jika Petronas dipaksa menanggung, pembeli antarabangsa pun boleh membantah,” katanya.

Tambah beliau, perubahan mendadak tanpa rundingan menyeluruh boleh dianggap tidak adil dan mendorong pelabur sedia ada menarik diri atau enggan membuat pelaburan baharu.

“Masa kita bincang dulu, benda ni tak ada. Tiba-tiba sekarang tambah syarat. Itu yang pelabur akan persoalkan,” kata Mohd. Rafizi.

Katanya, jika Petronas diletakkan di tengah-tengah situasi yang tidak menentu, kesannya bukan sahaja kepada syarikat itu tetapi keseluruhan ekosistem kewangan negara.

Realiti ekonomi tidak boleh diketepikan

Mohd. Rafizi yang pernah berkhidmat dalam portfolio antarabangsa Petronas menegaskan, rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas perlu menghasilkan penyelesaian seimbang untuk semua pihak.

“Sarawak sememangnya berhak mendapat bahagian lebih besar, tetapi pendekatannya tidak boleh menjejaskan industri, kemampuan Petronas atau kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, penstrukturan semula hasil minyak wajar dilaksanakan melalui pelaburan yang memacu pembangunan, bukannya sekadar pengagihan tunai yang boleh melemahkan struktur ekonomi negara yang sedia tertekan. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN