Cukuplah satu kes 1MDB dalam negara kita

Cukuplah satu kes 1MDB dalam negara kita

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengajaran penting daripada kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah memastikan perkara sama tidak berulang.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, kes 1MDB telah berlarutan selama 15 tahun sejak 2010 apabila keraguan terhadap pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi mula dibangkitkan iaitu melibatkan ramai pihak dan penceritaan yang panjang.

Katanya, setiap rakyat berhak mempunyai pandangan masing-masing sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan mahkamah dan perbezaan pendirian itu merupakan hak individu sebagai warganegara.

“Kes itu berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib yang pada awalnya didakwa sebagai derma daripada Keluarga Diraja Arab Saudi, namun akhirnya dibuktikan sebagai dana milik 1MDB.

“Bagaimanapun, kes 1MDB telah melalui proses yang penuh, bermula daripada mahkamah rakyat sebelum Najib didakwa, sehinggalah ke mahkamah undang-undang dengan perbicaraan yang bermula sejak 2019.

“Yang penting, jangan sesekali kita benarkan perkara yang sama berulang di masa hadapan. Jika kita perlu terus menegur, walau rimas macam mana pun, kita wajib terus bersuara kerana cukuplah ada satu 1MDB dalam sejarah kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB.

Mohd. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meminta orang ramai meneliti hujah penuh penghakiman apabila ia dikeluarkan bagi mengelak sebarang tuduhan yang tidak berasaskan hujah mahkamah kerana boleh melanggar undang-undang serta menghina institusi kehakiman.

“Sebagai insan, penilaian terhadap kes itu wajar dibuat dengan menghadap keseluruhan maklumat menggunakan akal, kewarasan dan hati nurani serta berdamai dengan kesimpulan peribadi masing-masing selepas melalui proses tersebut.

“Hak mana-mana pihak untuk terus membela Najib atau bersetuju dengan perkembangan kes setakat ini perlu dihormati selagi berlandaskan undang-undang dan tiada siapa berhak memaksa pihak lain menerima pandangan mereka,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kes 1MDB sebagai kes yang memecah-belahkan rakyat, mengejutkan serta penuh emosi dan tidak akan dapat dipadamkan daripada sejarah negara walau apa pun pengakhirannya.

Katanya, pengalaman peribadinya yang pernah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan berkaitan kes 1MDB pada November 2016 membuatkan beliau memahami emosi pelbagai pihak yang mengikuti perkembangan kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN