Taman Aksi Lubuk Salak ke arah ikon pelancongan Perak

Taman Aksi Lubuk Salak ke arah ikon pelancongan Perak

LUBUK Salak Action Park di Tanjung Malim menawarkan aktiviti lasak di darat dan jelajah hutan serta bukit yang dilengkapi kemudahan asrama, chalet, dewan makan, tapak perkhemahan dan gazebo. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Lubuk Salak Action Park (Taman Aksi Lubuk Salak) – LSAK yang terletak di Kampung Lubuk Salak di sini mengalami transformasi daripada sebuah pusat pengajian warga emas beragama Islam mendalami ilmu agama menuju ke arah salah satu ikon pelancongan.

Berkeluasan 5.7 hektar, LSAK yang mula beroperasi pada awal tahun ini menawarkan aktiviti lasak di darat dan sungai seperti program pembinaan pasukan, perkhemahan, memanah dan jelajah hutan serta bukit.

Selain aktiviti-aktiviti tersebut, fasiliti di LSAK juga lengkap dengan kemudahan asrama, chalet, dewan makan, tapak perkhemahan dan gazebo.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Lubuk Salak, Muhamad Nor Fahmi Mohd. Halin berkata, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim dan Tourism Perak memainkan peranan signifikan membantu menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan awam iaitu jalan, tempat meletak kenderaan, jambatan baharu, utiliti dan promosi.

“MDTM dan PDT Muallim sentiasa melawat tempat ini bagi memastikan ia sentiasa terjaga rapi dan kemudahan yang disediakan pada tahap terbaik untuk kunjungan pelanggan.

“Selain itu, mereka juga bakal mengadakan aktiviti untuk kakitangan mereka di sini termasuk membantu promosi kepada badan-badan beruniform di Perak sendiri.

“Bagi Tourism Perak pula mereka bercadang untuk melakukan penggambaran video berkaitan LSAK selain memasukkan pusat ini sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya lagi, Jabatan Pertanian dan Perikanan turut membantu dalam aspek anak pokok tanaman, baja, khidmat nasihat selain benih anak ikan tilapia untuk janaan hasil yang kompetitif.

Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Muallim sebagai Bandar Mesra Belia Tanjung Malim dengan tumpuan pertanian, perniagaan dan perkhidmatan.

Ia juga menepati Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship kesepuluh iaitu Ekonomi Pengalaman hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

“Sejak mula dibuka, LSAK yang terletak berhampiran Sungai Bernam yang masih tidak tercemar mampu memuatkan 150 pelanggan dalam satu masa turut menawarkan suasana alam semulajadi yang mendamaikan selain terdapat dua kolam ternakan ikan tilapia dan tanaman pisang, kelapa dan serai.

“Malah, pelanggan yang majoritinya pelajar sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar Perak serta Selangor dapat mendaki Bukit Changkat Asa yang terkenal dengan Pokok Gelam Merah (The Red Forest) yang memberikan sentuhan estetika dalam pengabadian fotografi,” katanya.

LSAK merupakan kerjasama strategik kampung tersebut dan bekas pengusaha pusat pengajian warga emas itu dengan perkongsian pintar yang mampu menjana pendapatan mencecah empat angka sebulan.

“Ibarat serampang dua mata, LSAK menambah pendapatan penduduk kampung terutama golongan belia dengan menyediakan perkhidmatan katering kepada pelanggan, juru pandu dan menguruskan pusat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN