TAPAH: Golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah, warga emas dan ibu tunggal di daerah ini berpeluang menambah pendapatan menerusi pembuatan produk kraftangan bermutu tinggi.
Produk seperti beg, kotak tisu dan bekas air adalah idea Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Batu 4 Tapah Road dan mula dihasilkan sejak awal tahun lalu.
Majlis Daerah Tapah (MDT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batang Padang pula membantu dalam aspek promosi, latihan dan pemasaran produk yang dihasilkan.
Lebih menarik, terdapat produk yang dihasilkan menggunakan bahan terpakai seperti plastik serbuk pencuci, sabun dan kampit beras yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Produk yang dihasilkan kumpulan 18 wanita di kampung itu turut dijual dalam kumpulan aplikasi WhatsApp, media sosial seperti Facebook, Instagram, platform X dan TikTok selain secara fizikal dalam ekspo dan karnival sekitar Perak.
Pengerusi JPKK Kampung Baru Batu 4 Tapah Road, Md. Ali Bahaudin berkata, MDT dan PDT Batang Padang membantu menyediakan platform untuk jualan khusus menerusi portal khas supaya produk kraf dari daerah ini dikenali ramai.
Menurutnya, malah ada rancangan produk kraf tersebut dijadikan cenderamata untuk menonjolkan identiti daerah Tapah bagi dihadiahkan kepada tetamu jemputan semasa majlis rasmi anjuran MDT dan PDT Batang Padang.
“Selain itu, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak menunjukkan minat untuk membantu dalam aspek pemasaran dan penjenamaan kraftangan kami supaya dikenali di dalam negara dan antarabangsa.
“Usaha itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Batang Padang yang berpotensi tinggi dalam pembangunan pelancongan kerana kewujudan aset sumber semula jadinya, tarikan flora dan fauna dan elemen kebudayaan yang boleh diketengah dan dipromosikan.
“Ia juga menepati Flagship keempat Perak Sejahtera 2030 iaitu Koridor TVET Malaysia dan Flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat merangkumi 1 Warga 1 Skil, 1 Keluarga 1 Usahawan serta 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta program, Nurul Syafiqah Isham, 31, berkata, kemahiran menghasilkan produk kraftangan membolehkannya menjana pendapatan dengan mengikuti bengkel secara konsisten di dewan kampung tersebut pada setiap Rabu, Khamis dan Jumaat.
“Saya dapat menambah pendapatan keluarga dan skil untuk jaminan masa depan selain mendalami ilmu Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang semakin berkembang.
“Saya boleh jana pendapatan kira-kira RM300 sebulan dan optimis untuk memulakan perniagaan kelak bagi membantu menawarkan pekerjaan kepada golongan wanita di kampung ini,” katanya.
Bagi ibu tunggal, Siti Furiza Md. Baki, 48, kematian suami akibat serangan jantung tiga tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk meningkatkan keupayaan diri dengan mempelajari kemahiran baharu.
“Kerajaan negeri telah membuka peluang untuk menambah kemahiran selain dapat menambah sumber pendapatan. Saya tidak ingin hanya berharap dengan pencen ilat arwah suami sebanyak RM2,500 sebulan semata-mata.
“Saya bukan sekadar menghasilkan kraftangan tetapi dapat belajar aspek pemasaran, pengiraan kos dan bajet dan kemahiran menjual produk dan perkhidmatan yang amat penting sekarang,” katanya. – UTUSAN