TAWAU: Tawau dan Kalabakan mempunyai potensi luar biasa untuk muncul sebagai hab pertanian moden dan pusat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET) di negeri Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesuburan tanah di daerah itu memberikan kelebihan besar untuk memacu pertanian moden, sekali gus melonjakkan sektor makanan dan agroteknologi bernilai tinggi.
Katanya, pembangunan pertanian moden itu perlu digerakkan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di mana latihan Hi-TVET khususnya bidang agroteknologi perlu menjadi tunjang kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Saya berasakan Tawau dan Kalabakan mempunyai potensi sangat besar untuk kita bawa pembangunan.
“Kawasan ini sangat subur dan bukan sahaja sesuai untuk pertanian tradisional tetapi pertanian moden,” katanya pada sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Desa@Tanjung Batu dan Khatam Perdana Pra-Tahfiz Tabika Kemas Peringkat Negeri Sabah di Dewan Tertutup, Kompleks Sukan Tawau, di sini semalam.
Beliau berkata, Majlis TVET Negara sedang merancang menjadikan Tawau sebagai pusat Hi-TVET baharu di Sabah, selain Institut Kemahiran MARA (IKM) yang sedia ada di Kota Kinabalu.
Katanya, meskipun terdapat 24 GiatMARA di seluruh Sabah, tetapi keperluan terhadap Hi-TVET di Tawau adalah mendesak untuk memenuhi permintaan industri dan pelaburan baharu.
“Dalam hal ini, Institut Kemahiran MARA (IKM) bakal menawarkan kursus yang mempunyai kadar kebolehpasaran tinggi. Ini penting kerana kadar pengangguran di Sabah mesti dikurangkan, dan Hi-TVET perlu dijadikan asas pembangunan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, untuk membuka pintu pelaburan dan merancakkan industri di Tawau, penyelesaian segera terhadap isu tiga serangkai (jalan raya, elektrik dan air) perlu diberikan keutamaan.
“Pelaburan luar hanya dapat dibawa masuk apabila isu tiga serangkai ini diselesaikan segera.
“Pada masa sama, latihan itu penting kerana 199,800 penganggur terdiri dari anak muda di Sabah. Kita tidak mahu mereka yang merupakan hampir 20 peratus penganggur datang dari Sabah. Kita tidak mahu mereka terus berhijrah mencari pekerjaan di Sarawak atau di Lembah Klang.
“Tenaga kerja Sabah mesti diberikan latihan, diberi tumpuan dan dilibatkan dalam pembangunan negeri mereka sendiri. Itu sebabnya kita bercadang mendirikan sebuah lagi IKM di Tawau dalam RMK dan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1),” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah kolej komuniti dan sebuah politeknik baharu sudah dikenal pasti untuk dibangunkan di daerah ini.
“Penekanan ini bukan kerana PRN, tetapi kerana ia sudah lama dirancang. Apa yang penting ialah pelaksanaannya mesti dipercepat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) optimis terhadap peluang BN pada PRN Sabah, berdasarkan pemerhatiannya di lapangan.
“Saya telah lakukan tinjauan. Ada kawasan agak mudah untuk kuasai dan kuasai semula tapi saya amat yakin dgn pilihan calon kerana mereka dah lalui tapisan penuh teliti. Mereka ada potensi sangat besar dan bawa kemenangan.
“Dan kita minta mereka istiqamah menyantuni pengundi bukan sahaja pengundi BN tetapi pengundi keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN










