BAGAN DATUK: Penglibatan golongan muda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu melahirkan tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan industri maritim negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program TVET dilihat membuka peluang kepada anak-anak muda untuk menguasai kemahiran dalam bidang kejuruteraan mekanikal marin, elektrikal marin, dan automasi kapal.
Malah katanya, TVET juga membolehkan mereka menjalankan penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui sekali gus meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi sektor maritim negara.
“Selain melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang TVET maritim, usaha ini juga sejajar dengan agenda ekonomi Madani dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang meletakkan sektor maritim sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, semalam.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Ahmad Zahid, graduan TVET dalam bidang maritim akan menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut.
Sementara itu, Zambry dalam ucapannya berkata, lebih 40,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim dan logistik dijangka diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, berdasarkan laporan antarabangsa, sektor maritim global dijangka berkembang 4.7 peratus setahun sementara lebih 80 peratus perdagangan dunia berlayar melalui lautan.
“Sektor maritim negara sedang memasuki fasa kebangkitan baharu dan perkembangan ini membuka peluang lebih luas kepada graduan TVET untuk menembusi pasaran kerja global.
“Industri ini merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan dan kemampanan laut,” ujar beliau. – UTUSAN










