Dalam era transformasi digital yang pesat, negara-negara ASEAN menghadapi peluang besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi melalui teknologi.
Walau bagaimanapun, kemajuan ini turut membawa cabaran dan ancaman siber yang semakin kompleks dan meruncing.
Ancaman siber telah menjadi isu kritikal yang mengancam kestabilan, keamanan, dan kemajuan ekonomi di Rantau ASEAN.
Dengan meningkatnya kebergantungan pada teknologi digital seperti perdagangan elektronik, perbankan elektronik dan infrastruktur pintar, negara-negara ASEAN menghadapi risiko serangan siber yang semakin kompleks dan canggih.
Dalam konteks ini, ASEAN Regional Forum (ARF) menjadikan keselamatan siber sebagai salah satu fokus utama untuk memastikan kelestarian keamanan rantau yang berpanjangan.
Dengan pertambahan populasi penduduk di negara-negara ASEAN yang mencecah lebih daripada 650 juta orang dan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat, hal ini menjadi sasaran penjenayah siber.
Menurut laporan Cybersecurity Ventures, kerugian global akibat jenayah siber ditaksirkan mencapai USD10.5 trilion setiap tahun. Serangan seperti ransomware, kecurian data dan identiti serta serangan terhadap infrastruktur kritikal seperti bekalan elektrik, keselamatan penerbangan, kewangan dan perkhidmatan Kesihatan telah berlaku di beberapa negara termasuk Singapura, Malaysia dan Indonesia.
ARF menyedari bahwa ancaman siber tidak mengenal batas negara, sehingga memerlukan kerjasama regional untuk mengatasinya.
Baru-baru ini Setiausaha Negara Amerika, Marco Robio semasa menghadiri Persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur turut menyatakan kebimbangannya mengenai ancaman penipuan dalam talian yang disifatkan beliau memberi kesan kepada negara-negara di dunia.
Serangan ransomware WannaCry pada 2017 misalnya mempengaruhi beberapa institusi di rantau ini dan menyebabkan kebanyakan negara bertumpu memperketatkan sistem sekuriti data.
Beliau mengesyorkan supaya diwujudkan pakatan kerjasama Amerika-ASEAN bagi menangani isu ini memandangkan potensi ASEAN sebagai pemacu ekonomi digital sememangnya tidak boleh dinafikan.
Menerusi platform seperti SOMTC, perkongsian maklumat siber dan penjanaan sistem sekuriti data dapat diperluaskan dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi membendung ancaman siber yang berluasa.
Namun begitu.beberapa cabaran dan pendekatan strategik harus diberi keutamaan bagi menyokong usaha-usaha menangani ancaman siber negara-negara ASEAN.
Di antaranya ialah penambahbaikan infrastruktur keselamatan siber di kebanyakan negara ASEAN yang membangun seperti Kemboja, Laos dan Myanmar.
Sistem teknologi maklumat yang jauh ketinggalan, pelaburan terhad dalam keselamatan siber dan kekurangan pakar ICT menyukarkan usaha untuk melindungi sekuriti data dan infrastruktur kritikal seperti sistem kewangan, tenaga dan kesihatan.
Cabaran kedua ialah menangani jurang literasi digital dalam kalangan penduduk ASEAN, terutamanya di kawasan luar bandar, menjadi cabaran besar yang membelenggu kebanyakan negara ASEAN.
Ramai pengguna internet seperti individu dan organisasi terdedah kepada serangan siber akibat tidak memahami risiko pancingan data (phishing) dan perisian malware.
Ini mengakibatkan mereka kerugian jutaan dolar. Walaupun terdapat inisiatif yang dibangunkan seperti ASEAN Cybersecurity Cooperation Strategy, kerjasama serantau bagi menangani ancaman siber masih terhad disebabkan oleh perbezaan undang-undang dan regulasi siber, kapasiti pencapaian teknologi, dan keutamaan Kerajaan terhadap pembangunan ICT.
Hal ini menyukarkan usaha untuk menangani ancaman siber rentas sempadan, seperti jenayah siber antarabangsa atau serangan anarki yang disokong oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebergantungan negara ASEAN kepada teknologi dan perkhidmatan dari Syarikat luar, seperti penyedia maklumat dan perisian yang bermotifkan keuntungan semata-mata akan berpotensi meningkatkan risiko pencerobohan data dan kebocoran maklumat, terutamanya jika pemain industri tersebut tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ketat.
Ancaman siber yang disokong oleh entiti negara (state-sponsored attacks) semakin membimbangkan. Serangan bermotifkan mencuri data sulit, mengganggu infrastruktur kritikal atau mempengaruhi kestabilan politik.
Contoh, serangan siber terhadap institusi kerajaan di Vietnam, Filipina, Malaysia telah dikaitkan dengan komplot jenayah antarabangsa.
Selain itu, infrastruktur kritikal seperti grid tenaga, sistem pengangkutan, dan telekomunikasi menjadi sasaran utama penjenayah siber. Contohnya pada tahun 2021, Singapura menjadi mangsa serangan terhadap sistem air akibat pencerobohan siber tersebut.
Peningkatan penggunaan platform digital juga menyebabkan berlakunya ancaman kebocoran data peribadi yang serius. Kes seperti kebocoran data pengguna di Malaysia dan Indonesia menonjolkan keperluan perlindungan data yang lebih sistematik, terkawal dan selamat.
Sebagai langkah untuk mengatasi ancaman siber ini, ASEAN perlu meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur keselamatan siber dan melatih lebih ramai pakar siber melalui pemerkasaan inisiatif-inisiatif program bersepadu seperti ASEAN-Japan Cybersecurity Capacity Building Centre.
Kempen kesedaran awam dan pendidikan digital perlu diperluas untuk membantu rakyat mengenali ancaman siber dan mengamalkan amalan selamat dalam talian. Negara ASEAN harus memperkukuh kerjasama melalui perkongsian maklumat ancaman siber, latihan bersama, dan penyelarasan dasar keselamatan siber.
Penggubalan undang-undang dan regulasi perlindungan data yang sistematik dan ketat yang diperkenalkan oleh beberapa negara ASEAN seperti Malaysia dan Singapura akan dapat merangsang suatu perkitaran keselamatan maklumat yang lebih selamat dan terjamin pematuhan piawaian keselamatan global menjadi keutamaan.
Usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat adalah kunci kejayaan untuk memastikan ruang siber negara-negara ASEAN selamat dan berdaya tahan di rantau ini.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)