PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membincangkan langkah seterusnya bagi menjayakan proses damai antara kedua-dua negara.
Menurutnya, Malaysia bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara utama dalam merintis jalan damai antara Kemboja dan Thailand.
Katanya, Malaysia komited membantu meredakan ketegangan di kawasan perbatasan kedua-dua negara itu, sejajar dengan semangat Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai hujung bulan lalu.
Tambahnya, Malaysia bertindak bukan sekadar sebagai Pengerusi ASEAN tetapi lebih penting sebagai negara jiran yang konsisten memikul tanggungjawab memastikan keamanan rantau terus terpelihara.
“Kita mahu melihat persahabatan dan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand terus diperkukuh. Malaysia bersedia membantu dari semasa ke semasa bagi memastikan segala usaha damai berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Anwar berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan menyatakan penghargaan terhadap komitmen Malaysia yang berterusan dalam menyokong proses damai serta usaha meredakan ketegangan di sempadan.
Menurutnya, Malaysia akan terus membuka ruang rundingan, menjadi jambatan komunikasi dan memantau perkembangan bagi memastikan kestabilan jangka panjang dapat dicapai mengikut persefahaman yang dipersetujui.
“Saya berharap semoga Kemboja dan Thailand kekal menunjukkan kesungguhan serta keberanian politik untuk mengembalikan keamanan, demi kesejahteraan rakyat masing-masing dan kestabilan keseluruhan rantau,” katanya. – UTUSAN










