Sooka tawar fungsi baharu, tawaran eksklusif sempena ulang tahun

Sooka tawar fungsi baharu, tawaran eksklusif sempena ulang tahun ke-4

CHU Young Lee bersama Dinesh Immanuel melihat paparan halaman utama sooka yang telah dinaik taraf bersempena sambutan ulang tahun ke-4 Sooka di Astro, Bukit Jalil. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penstriman terkemuka di Malaysia, sooka menawarkan fungsi baharu dan tawaran eksklusif kepada pengguna bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang keempat.

Pengarahnya, Chu Young Lee berkata, sooka sudah berkembang dengan pesat sepanjang empat tahun pengoperasiannya dan pada masa sama melakukan pelbagai penambahbaikan demi pengguna.

Menurut beliau, antara penambahbaikan utama sejak awal tahun ini yang dilakukan sooka adalah termasuk pembaharuan aplikasi dengan prestasi keseluruhan dua kali ganda lebih pantas dan peranti penstriman television sooka atau TV Stick yang dinaik taraf.

“Selain itu, kini dengan kandungan sukan Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD) serta kandungan dan navigasi yang diperibadikan. Kesemua ini menyediakan pengalaman tontonan yang lebih lancar, pantas dan intuitif.

“Sooka juga telah memperkenalkan chatbot berasaskan teknologi kecerdasan (AI) untuk sokongan pelanggan yang pantas serta Panduan Program Elektronik (EPG) dan tab dinamik yang akan diperkenalkan di semua platform dalam beberapa minggu akan datang.

“Penambahbaikan tersebut adalah untuk memudahkan navigasi saluran langsung dan kandungan Video Mengikut Permintaan (VOD),” katanya ketika menyampaikan ucapan di Astro, Bukit Jalil, di sini. 

Dalam pada itu, Young Lee memaklumkan bahawa sooka sudah mencatat pertumbuhan hingga 100 peratus dari segi pelanggan berbayar.

Malah, jelasnya, sooka kini merupakan aplikasi sukan nombor satu dan merupakan diantara lima aplikasi dengan pendapatan tertinggi di Google Play Store di Malaysia. 

“Platform ini terus menerima penilaian pengguna yang tinggi iaitu 4.6 bintang di Google Play Store dan 4.2 bintang di App Store. Ini menunjukkan prestasi yang konsisten serta tahap kepuasan pengguna yang tinggi.

“Pencapaian ini meletakkan sooka sebagai aplikasi Over-The-Top (OTT) yang paling pantas berkembang di Malaysia, mendahului pesaing tempatan dan global,” jelasnya.

Beliau berkata, sooka terus berpegang kepada komitmennya iaitu menjadi penghubung kepada rakyat Malaysia melalui hiburan sukan dan Asia yang mudah diakses oleh semua.

“Kami amat berterima kasih kepada para peminat yang memilih sooka sebagai aplikasi hiburan pilihan mereka. Dalam rancangan masa hadapan sooka, kami akan terus menumpukan usaha untuk menawarkan perkhidmatan penstriman yang membanggakan rakyat Malaysia,” katanya.

Oleh itu, Young Lee berkata, sooka akan menawarkan pelbagai ganjaran ulang tahun sehingga 31 Julai ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggannya.

Menurutnya, antara ganjaran yang bakal diterima adalah termasuk pelanggan baharu yang bakal berpeluang menikmati akses percuma 10 hari kepada pelan sukan dan hiburan dengan kod promosi ‘HBDSOOKA’.

“Semua pengguna juga berpeluang memenangi sebuah Smart TV LG 86” 4K UHD atau sooka TV Stick setiap hari selama 30 hari. Malah, sooka TV Stick yang harga pasarannya RM349, kini boleh didapati secara percuma dengan pembelian pelan enam bulan sooka premium pada harga RM249.

“Tawaran beli satu, percuma satu untuk pas tahunan juga boleh didapati di laman web sooka bermula 25 Jun intik untuk masa yang terhad, memberikan akses selama 24 bulan pada harga bermula dari RM149,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, sooka akan terus melebarkan langkahnya dengan menambah baik kandungan dan memanfaatkan teknologi untuk memberikan pengalaman hiburan bertaraf dunia kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun kelimanya.

“Dalam beberapa bulan akan datang, sooka akan mengumumkan kerjasama dan penawaran bersama dengan syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan utama untuk memberi nilai tambahan kepada pelanggan.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada misi sooka untuk menjadikan platform ini lebih mudah diakses dan memperkukuh kedudukannya dalam landskap hiburan digital negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN