Bina depo perkasa pekebun kecil Sarawak

Bina depo perkasa pekebun kecil Sarawak

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyempurnakan Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra Gawai Peringkat RISDA Negeri Sarawak Tahun 2025, di Kampung Raeh Baru, Serian, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERIAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mewujudkan Depo Berprestasi Tinggi (DPT) di Sarawak bagi mempertingkatkan penghasilan getah di negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah lokasi depo telah dikenalpasti bagi tujuan tersebut iaitu di Kota Samarahan dan satu lagi akan dibincangkan dengan kerajaan negeri.

“RISDA cadang agar setiap negeri mempunyai depo bagi tujuan tersebut,” ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Pekebun Kecil Makmur Dan Sambutan Pra Gawai Peringkat RISDA Negeri Sarawak Tahun 2025, di Kampung Raeh Baru, di sini semalam.

Inisiatif pembinaan depo yang akan diuruskan oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) juga bakal meningkatkan kecekapan rantaian bekalan getah di negeri ini dan mampu menjadi penyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil.

Ahmad Zahid berkata, projek itu juga mampu menyediakan peluang pekerjaan baharu di kawasan sekitar dan bakal diperluas ke kawasan-kawasan lain pada masa akan datang untuk memperluas jaringan pemasaran hasil getah pekebun kecil.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, Malaysia mengimport getah bernilai RM6 bilion untuk kegunaan domestik dan eksport.

“Bagi mengutamakan pengeluaran tempatan, RISDA akan terus meningkatkan pengeluaran lateks dengan sasaran bilangan pengeluaran yang tinggi agar keberhasilan dapat dicapai.

“Majoriti pekebun kecil di negara ini sememangnya bergantung kepada getah dan RISDA bertanggungjawab mengkoordinasikan usaha bersama semua organisasi di peringkat negeri dan daerah untuk mempertingkatkan penghasilan getah, khususnya menukar bentuk getah daripada getah beku kepada lateks kerana lateks mampu menyumbang kepada pendapatan yang lebih baik,” jelasnya.

Jelasnya, dengan adanya depo penyimpanan lateks, proses pengeluaran lateks dapat dilakukan dengan lebih efisien dan berkualiti.

“Selain itu, RISDA kini dalam mengaktifkan semula kebun-kebun getah matang yang tidak aktif untuk diusahakan semula oleh pekebun kecil.

“Kayu getah lama yang ditebang akan dirawat dan digunakan dalam industri perabot. Terdapat perjanjian untuk memasarkan kayu getah terawat ini terutama ke pasaran luar negara.

“RISDA turut menyasarkan untuk membantu jualan kayu getah pekebun kecil yang terawat kerana ia lebih menguntungkan daripada yang mentah dalam masa beberapa tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, RISDA kini menyediakan Insentif Pengeluaran Getah Pekebun Kecil (IPGPK) kepada pekebun-pekebun kecil yang mengusahakan penghasilan getah lateks.

Secara umumnya kata beliau, penghasilan getah lateks mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan sehingga 30 peratus berbanding penghasilan getah skrap.

Dengan insentif itu, pekebun kecil bakal menikmati insentif sebanyak RM3 bagi setiap kilogram hasil lateks yang dipasarkan melalui depo-depo pengumpulan hasil yang diurus serta diselia oleh RISDA.

RISDA turut mengumumkan peruntukan program pembangunan RISDA Negeri Sarawak pada tahun ini yang berjumlah RM42.69 juta juta bagi memastikan pekebun kecil di negeri ini diperkasakan melalui program pembangunan strategik yang telah dirangka.

Selain itu, RISDA turut menyampaikan bantuan bakul makanan melalui program sosial korporat Yayasan RISDA kepada 100 orang warga setempat di kawasan ini.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Negeri Sarawak, Datuk Maclaine Ben @ Martin Ben; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar; dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN