MELAKA: Rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada konflik yang melanda beberapa negara di Asia Barat dengan terus mensyukuri keamanan dan kemakmuran yang dinikmati di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Malaysia seharusnya menyedari betapa bertuahnya hidup dalam keadaan aman tanpa berdepan peperangan seperti yang dialami masyarakat di rantau yang sedang bergolak itu.
Menurutnya, keadaan di beberapa negara Asia Barat memperlihatkan bagaimana peperangan dan ketegangan politik boleh membawa penderitaan besar kepada rakyat termasuk kehilangan nyawa pemimpin negara, pegawai tentera serta orang awam.
Katanya, sebagai umat Islam, apapun mazhab yang dipegang, harus bersimpati, bukan sahaja negara itu telah diserang, tetapi pemimpin-pemimpin utama mereka juga telah dibunuh.
“Kadangkala kita tidak merasakan nikmat keamanan jika kita tidak diuji dengan kesusahan. Kita tidak merasakan nikmat kenyang jika tidak pernah merasai kelaparan.
“Islam tidak mengajar untuk membezakan simpati kepada mana-mana pihak walupun berbeza fahaman mazhab mahupun agama.
“Kita tidak merasakan betapa berharganya keamanan jika negara tidak pernah melalui peperangan. Jagalah keamanan, jagalah keharmonian, jagalah perbedaan agama, perbedaan bahasa dan kebudayaan,” katanya berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega di Dataran Pusat Islam Masjid Al-Azim di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid menegaskan, walaupun Malaysia tidak berdepan konflik bersenjata, rakyat perlu terus memelihara keamanan, perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas kestabilan negara.
Tambah beliau, rakyat juga berhak menyuarakan simpati terhadap penderitaan yang dialami oleh masyarakat di negara lain tanpa menimbulkan kebencian terhadap mana-mana agama atau bangsa.
“Sebagai umat Islam dan sebagai rakyat negara yang aman, kita harus bersimpati terhadap mereka yang menghadapi penderitaan akibat peperangan dan keganasan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa keamanan yang dinikmati Malaysia hari ini perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum, bahasa dan agama.
Menurut Ahmad Zahid, bulan Ramadan juga merupakan waktu terbaik untuk rakyat bermuhasabah dan mengambil pengajaran agar nilai perpaduan serta keharmonian dapat terus diperkukuhkan demi masa depan negara. – UTUSAN










