UKM kekal prinsip keterbukaan dan pengantarabangsaan

UKM kekal prinsip keterbukaan dan pengantarabangsaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang menegaskan komitmen berterusan Malaysia terhadap prinsip kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (Diversity, Equity and Inclusion) dalam pendidikan tinggi.

UKM berpandangan pendidikan tinggi seharusnya kekal sebagai ruang terbuka yang mengalu-alukan penyertaan pelajar, penyelidik dan kerjasama dari pelbagai latar belakang.

Ketika ada negara mula mengehadkan akses kepada pelajar antarabangsa, UKM kekal berpegang kepada prinsip keterbukaan dan pengantarabangsaan sebagai asas pembangunan akademik dan penyelidikan.

UKM percaya mengehadkan akses kepada pendidikan secara tidak langsung bermaksud menyekat potensi pembangunan dan kemajuan negara serta penyebaran ilmu.

Oleh itu, agenda pengantarabangsaan universiti terus digerakkan sejajar dengan hala tuju yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), termasuk pelaksanaan Program Pelancongan Pendidikan (Edutourism), Pendidikan Rentas Sempadan (Transnational Education – TNE), serta usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Tinggi ASEAN dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Dalam konteks kerjasama global, UKM kini menjalin hubungan strategik dengan 127 institusi luar negara yang terdiri daripada rakan industri, agensi, serta institusi pendidikan dan penyelidikan. Kolaborasi ini
bukan sahaja memperkukuh ekosistem akademik, malah memperluas impak penyelidikan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, UKM terus menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa. Sehingga kini, seramai 9,789 pelajar antarabangsa dari 74 negara sedang mengikuti pengajian di UKM dalam pelbagai bidang.

Kehadiran komuniti pelajar global ini memperkayakan pengalaman pembelajaran dan mengukuhkan peranan UKM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang inklusif dan dinamik.

Sebagai universiti kebangsaan, UKM terus komited menyokong dasar Kementerian Pengajian Tinggi yang menjadikan kepelbagaian dan inklusiviti teras pembangunan bagi memastikan institusi pendidikan Malaysia terus berdaya saing dan menonjol di peringkat antarabangsa.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN