PETALING JAYA: Bidang Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali berjaya menembusi kelompok 100 terbaik dunia.
Pencapaian tersebut menerusi penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026 yang menyaksikan bidang undang-undang UKM berada dalam kelompok 99 terbaik dunia, sekali gus menjadi yang terbaik di Malaysia.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, secara keseluruhan UKM turut mencatat peningkatan kedudukan apabila berada dalam kelompok 201–250 dunia tahun ini berbanding 251–300 pada tahun lalu.
Katanya, pencapaian berkenaan melibatkan penilaian ke atas 11 bidang utama dengan beberapa disiplin mencatat peningkatan prestasi yang memberangsangkan.
“Selain bidang Undang-Undang yang berada di kedudukan 99 terbaik dunia, bidang Sains Komputer, Sains Fizikal, Sains Sosial, Perniagaan dan Ekonomi, serta Pendidikan turut merekodkan peningkatan yang positif.
“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan UKM di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pengiktirafan itu membuktikan kualiti kepakaran akademik, komitmen berterusan seluruh warga universiti serta keupayaan UKM untuk terus bersaing di pentas antarabangsa. – UTUSAN










