PETALING JAYA: Hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini semakin hampir kepada titik kejayaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor sejak menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri lima tahun lalu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Syahrudin Awang Ahmad berkata, ia dapat dilihat secara ketara apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah.
Selain itu katanya, kerajaan negeri Sabah berjaya menerima cukai jualan produk petroleum pada kadar lima peratus setahun daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini jelas menujukkan usaha konsisten kerajaan Sabah dan langkah ke arah merealisasikan MA63.
“Malah, Hajiji memainkan peranan secara proaktif dan membuktikan kesungguhan beliau ke arah pencapaian tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Syahrudin Awang berkata, Hajiji komited memberikan sokongan penuh kepada pelaburan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.
Perkara tersebut dapat dilihat menerusi pelaburan strategik Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang dapat mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri minyak dan gas di rantau ini.
“Projek ini bukan sahaja mampu membawa pelaburan asing langsung (FDI) tetapi dapat mewujudkan peluang pekerjaan dengan anggaran kira-kira 5,000 kekosongan untuk rakyat Sabah,” jelasnya.
Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas di SOGIP bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) dengan melibatkan keluasan 160 hektar.
Projek ini merupakan kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), yang menguruskan SOGIP, dan Gibson Shipbrokers Limited, sebuah syarikat khusus dalam bidang maritim, tenaga, serta industri berkaitan.
Ia akan dilaksanakan dalam tempoh dua fasa dan merangkumi pembinaan pelabuhan bertaraf dunia untuk menyokong pengangkutan serta perdagangan tenaga dengan penggunaan tenaga kerja tempatan sebanyak 80 peratus.
Syahrudin Awang juga berkata, projek kerjasama itu mampu meningkatkan ekonomi domestik Malaysia dan menyokong keselamatan tenaga serantau serta merancakkan perdagangan.
“SOGIP dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi, dan pengembangan industri.
“Ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tenaga global, SOGIP akan memainkan peranan strategik dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi,” jelasnya.
Selain memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah, beberapa tuntuan berkaitan MA63 berjaya dilaksanakan antaranya garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, kejayaan Hajiji itu berjaya meletakkan asas penting ke arah pengembalian kuasa dan hak Sabah, termasuk hasil minyak, pentadbiran kesihatan, dan suara yang lebih kuat dalam rundingan antara pusat serta negeri.
Katanya, Hajiji dilihat sebagai pemimpin berani bersuara tetapi masih bijak mengekalkan hubungan kerja dengan Kerajaan Persekutuan.
“Langkah berkenaan sesuatu yang penting untuk kelangsungan pembangunan Sabah bagi jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN