KUCHING: Golongan belia Bumiputera Sarawak berpeluang menerima geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000 menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia tahun ini.
Inisiatif tersebut bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang keusahawanan sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi tempatan melalui penglibatan aktif golongan muda dalam sektor perniagaan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri Sarawak bersama SME Corp. melancarkan program TUBE 11 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Awang Tengah berkata, program itu bukan sahaja membuka peluang kepada belia untuk memulakan perniagaan, malah turut menyediakan latihan dan pendedahan kepada elemen-elemen moden dalam keusahawanan seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Hasil kajian Program TUBE 2023 menunjukkan 3.5 peratus peserta telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Kejayaan tersebut jelas membuktikan potensi besar program itu dalam melahirkan usahawan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika berucap dalam program TUBE 11, di Perkampungan Sukan Sarawak, di sini hari ini.
Menurutnya, penambahbaikan berterusan adalah penting bagi memastikan TUBE terus memberi impak yang maksima kepada generasi muda, khususnya di Sarawak.
Program TUBE 11 di Sarawak berlangsung dari 21 hingga 28 Mei 2025 dengan 61 peserta belia Bumiputera Sarawak disasarkan menerima latihan intensif.
Program yang turut dijalankan serentak di tiga zon lain iaitu Utara, Pantai Timur dan Tengah/Selatan telah melatih lebih 500 peserta di seluruh negara, manakala Sabah telah melaksanakan program tersebut Februari lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, pihaknya komited memantau perkembangan peserta dari fasa latihan hingga pengoperasian perniagaan dan seterusnya menyediakan laluan penskalaan melalui program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Perniagaan yang bertahan lebih dua tahun dan menunjukkan potensi pertumbuhan akan dibimbing untuk berkembang daripada perusahaan mikro kepada kecil,” katanya.
Jelasnya, sejak dilancarkan pada 2014, Program TUBE telah menyalurkan geran berjumlah RM125.84 juta kepada 8,653 belia, termasuk RM12.65 juta kepada 879 belia di Sarawak.
“Seramai 8,312 peserta telah mendaftarkan perniagaan, dengan nilai jualan terkumpul melebihi RM207 juta dan mencipta 16,690 peluang pekerjaan,” katanya.
Dalam majlis sama, Awang Tengah turut menyampaikan Surat Tawaran Program TUBE 11 2025 Wilayah Sarawak kepada wakil peserta sebagai simbolik kepada penyertaan dalam program tersebut tahun ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Surat Tawaran Program TUBE 11 2025 Wilayah Sarawak kepada wakil peserta oleh Amar Awang Tengah sebagai simbolik penyertaan rasmi ke dalam program berprestij itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat, Penasihat (PKS) MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, serta barisan pengurusan tertinggi SME Corp. – UTUSAN