Sarawak memuktamad pengambilalihan MASwings

Sarawak memuktamad pengambilalihan MASwings

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn. Bhd. menerusi entiti milik penuhnya, AirBorneo Holdings Sdn. Bhd. yang berkuat kuasa hari ini.

AirBorneo dalam kenyataannya memaklumkan, perjanjian jual beli bagi pengambilalihan syarikat penerbangan itu telah ditandatangani antara Malaysia Aviation Group dan kerajaan negeri Sarawak pada 12 Februari 2025.

Katanya, AirBorneo akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab perundangan dan operasi MASwings bermula 1 Januari 2026 dengan penjenamaan sedia ada diteruskan sepanjang fasa peralihan awal.

“Semasa fasa peralihan awal ini, penjenamaan MASwings akan diteruskan, sementara AirBorneo melancarkan identiti jenama baharunya secara berperingkat.

“AirBorneo menghargai kerjasama dan sokongan oleh penumpang, rakan kongsi dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini,” katanya kenyataan itu.

Menurut AirBorneo, pengambilalihan berkenaan selari dengan objektif strategik kerajaan negeri bagi memperkukuh ketersambungan udara di Sarawak serta memastikan kadar tambang yang berpatutan kepada rakyat.

“Ini merupakan langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri dan menyediakan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya AirBorneo.

“Kerajaan negeri Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN