MINDEF kukuh ekosistem kesejahteraan warga ATM di Sabah

MINDEF komited kukuhkan ekosistem kesejahteraan warga ATM di Sabah

Mohamed Khaled Nordin menyerahkan sumbangan kepada keluarga anggota tentera sempena Majlis Ramah Mesra Warga Kem Kabota, Tawau, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited mengukuhkan ekosistem kesejahteraan warga pertahanan dalam memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga di Sabah terjaga.

Ia menerusi lawatan kerja selama dua hari oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Negeri Di Bawah Bayu yang merupakan inisiatif bagi menepati fokus keempat kementerian, iaitu memperkukuh ekosistem kesejahteraan.

Lawatan kerja itu melibatkan tiga lokasi utama iaitu Kem Kukusan, Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dan Kem Kabota.

Terdahulu, menerusi lawatan kerja pada hari pertama, Mohamed Khaled telah  mengunjungi  Kem Kukusan di Tawau sebelum meneruskan lawatan ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di bawah kawalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Semasa lawatan tersebut, beliau telah diberi taklimat operasi dan projek pembangunan dan senggaraan Kem Kukusan oleh Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani.

Kemudiannya, Mohamed Khaled turut menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Kukusan serta menyampaikan sumbangan kebajikan berjumlah RM500 kepada 15 pesakit kronik yang terdiri daripada anggota tentera dan ahli keluarga yang bertugas di kem tersebut, sebelum meneruskan lawatan ke PL TSR.

Pada hari kedua, Menteri Pertahanan mengadakan lawatan kerja di Kem Kabota bagi meninjau pelaksanaan beberapa projek di Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (Bn Ke-7 RAMD).

Kehadiran Mohamed Khaled telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama deligasi Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi meninjau perkembangan semasa projek-projek melibatkan Bn Ke-7 RAMD yang telah disalurkan melalui Program Kem MADANI dan Santuni MADANI ATM. 

 Seterusnya, Mohamed Khaled bersama delegasi terus bergerak melawat Tapak Projek Madu Kelulut, Tapak Projek Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas Kem Kabota dan projek senggaraan Dewan Berani Ikhlas Kem Kabota. 

Selain itu, Mohamed Khaled turut menyantuni warga Kem Kabota dalam Majlis Ramah Mesra dan menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 kepada 15 orang pesakit kronik yang  terdiri daripada warga tentera dan keluarga yang bertugas di Kem Kabota.

Mohamed Khaled turut melawat projek rintis ternakan kelulut yang juga merupakan salah satu pendekatan dalam Program Kem MADANI yang dilaksanakan.

Beliau berkata, Projek Ternakan Madu Kelulut di Kem Kabota adalah merupakan salah satu pendekatan di bawah Program Kem MADANI dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad, Universiti Malaysia Terengganu dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera 7 RAMD (BAKAT 7 RAMD).

Katanya lagi, melalui projek ini, ahli BAKAT 7 RAMD berpotensi menjana pendapatan tambahan dengan menghasilkan pasaran madu asli untuk dipasarkan secara meluas, yang mana akan menyumbang kepada ekonomi negara. 

“Projek ini menggunakan konsep 3T iaitu Ternak, Tinggal dan Tuai dengan menyasarkan penyediaan 3 sarang kelulut 1 keluarga.

“Antara lain, projek ini bertujuan menjana ekonomi keluarga dan menarik minat ahli BAKAT untuk terus konsisten dan berjaya pada masa akan datang melalui bantuan penuh pasukan dalam mengusahakan keperluan-keperluan asas,” katanya.

Tambah beliau, Projek Pembinaan RKAT Tambahan Pelbagai Kelas Kem Kabota dijangka siap dalam Tahun 2026 di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

“Projek Senggaraan Dewan Berani Ikhlas Kem Kabota adalah merupakan Program Satu Pemimpin, Satu Kem Santuni MADANI yang telah memperuntukkan bernilai RM100,000.00 kepada 7 RAMD pada 27 Mac 2025, baru-baru ini. 

“Peruntukan ini adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN