PETALING JAYA: Pendekatan rundingan yang dilaksanakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus membuahkan hasil apabila beberapa tuntutan utama negeri berjaya diselesaikan.
Ia merupakan satu perkembangan positif yang memperlihatkan pengiktirafan terhadap hak Sabah dalam kerangka Persekutuan.
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, antara aspek penting yang berjaya dicapai hasil rundingan tersebut ialah pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan
Sarawak yang kini perlu mendapat perkenan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri masing-masing.
Katanya, langkah itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperakui Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak sebagai entiti berasingan daripada Mahkamah Tinggi di Semenanjung.
“Maka, peranan TYT dalam proses pelantikan hakim adalah penting dalam merealisasikan kedudukan Mahkamah Tinggi di kedua-dua negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Shamrahayu, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman perlu berunding secara langsung dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak sebelum sebarang pelantikan dilakukan serta mendapatkan perkenan TYT negeri.
“Ini menunjukkan badan kehakiman di Sabah dan Sarawak memiliki kedudukan tersendiri yang wajib dihormati dan tidak seharusnya dianggap sekadar simbolik,” katanya.

Mengulas kepimpinan Hajiji, beliau menyifatkan pendekatan rundingan yang diambil oleh Ketua Menteri Sabah itu sebagai strategi yang amat wajar serta menghormati hubungan negeri dan Persekutuan, khususnya dalam aspek badan kehakiman.
“Pendekatan yang diambil oleh Hajiji adalah terbaik kerana melalui rundingan, hak-hak negeri dapat dipertahankan dan dihormati. Ia mencerminkan penghormatan terhadap MA63 dan Perkara 121 Perlembagaan mengenai kedudukan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Tegasnya, pelaksanaan hasil rundingan itu akan memperkukuh sistem federalisme negara jika kedua-dua pihak saling menghormati perjanjian dan persefahaman yang telah dicapai.
“Bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem federalisme, kita tidak boleh lari daripada menghormati persetujuan yang telah dicapai kecuali jika terdapat perkembangan baharu hasil rundingan bersama.
“Kesannya, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan menjadi lebih harmoni dan mantap,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Mohd. Sohaimi Esa menyifatkan rundingan yang digerakkan Hajiji telah berjaya menghasilkan beberapa kejayaan besar untuk negeri Sabah.
Menurutnya, antara pencapaian penting termasuk pemulangan kuasa kawal selia hasil negeri seperti cukai pelancongan serta peningkatan pemberian khas kewangan kepada Sabah yang merupakan langkah penting dalam mengiktiraf hak kewangan negeri.
Beliau berkata, beberapa agensi Persekutuan juga telah diserahkan semula kepada kerajaan negeri, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang kini diiktiraf sebagai Jabatan Teknik mengikut Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Katanya, ia membolehkan JKR Sabah mengendalikan secara langsung projek infrastruktur bernilai sehingga RM50 juta.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah turut menerima pengiktirafan sama untuk mengurus projek pengairan dan saliran secara lebih autonomi dan selaras dengan keperluan tempatan.
“Dalam sektor tenaga pula, kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kini berada sepenuhnya di bawah Kerajaan Negeri Sabah, memberi ruang kepada pengurusan lebih efektif dan berasaskan keperluan negeri,” katanya.
Pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 juga membolehkan wakil kerajaan negeri dilantik sebagai anggota tetap dalam lembaga tersebut.
“Garis panduan khas turut disediakan bagi penyerahan semula tanah rizab Persekutuan kepada kerajaan negeri sekali gus memperkukuh hak milik tanah negeri,” katanya.
Mohd. Sohaimi berkata, pendekatan rundingan yang digerakkan Hajiji jelas memberi impak besar kepada kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan menjadi pemangkin kerjasama erat antara Sabah dan Putrajaya.
“Peranan Hajiji dalam proses ini amat penting. Rundingan yang dilaksanakan secara harmoni dan berhemah mampu menghasilkan penyelesaian yang saling menguntungkan, demi kepentingan rakyat dan kedaulatan negeri,” katanya. – UTUSAN