PETALING JAYA: Satu jawatankuasa khas melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah ditubuhkan bagi memperincikan mekanisme tuntutan 40 peratus hasil negeri itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63) berkata, jawatankuasa itu perlu menentukan terma rujukan serta kaedah pemberian berkenaan dalam tempoh terdekat ini.
Ia lebih awal sebelum tamat tempoh berbaki 60 hari lagi seperti ditetapkan mahkamah sebelum ini.
“Hari ini mereka akan mengadakan perbincangan dan tadi saya sudah menyatakan supaya tubuhkan jawatankuasa supaya mereka akan dapat term of reference (terma rujukan) supaya apabila kerajaan baharu (Sabah) tertubuh, mereka (jawatankuasa) boleh laporkan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan Persekutuan sudah memutuskan tidak merayu untuk 40 peratus. Tapi lebih melihat bagaimana kita mahu terjemahkan apa yang termaktub dalam 40 peratus, apa kaedah dan sebagainya.
“Inilah akan dirundingkan oleh peringkat jawatankuasa yang ditubuhkan nanti untuk mereka perincikan dan akhirnya memberikan pelaporan kepada kerajaan negeri yang baru nanti, bila sudah tertubuh dengan kerajaan Persekutuan, supaya apa yang diputuskan mahkamah, berkaitan 40 itu dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program serta Projek Pembangunan Sabah di Menara Kinabalu, Sabah, hari ini.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan sejak hampir empat dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari manakala persetujuan bersama harus perlu dicapai dalam 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, jawatankuasa khas tersebut akan terus melaporkan kepada JKTMPMA63 dan juga dibenarkan untuk melapor terus kepada Jemaah Menteri berhubung perkembangan perbincangan.
“Tempoh masa untuk kita membincangkan pelaksanaan ini amat singkat. Rundingan bermula hari ini dengan penubuhan jawatankuasa tersebut dan jika boleh saya mahu mereka memperincikan terus mekanisme dan pelaksanaannya.
“Saya akan tunggu apa hasil perbincangan mereka. Apa yang penting tubuh jawatankuasa itu untuk perundingan dan beri cadangan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan membincangkan skop tugas dan tanggungjawab pelaksanaan tuntutan tersebut serta perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri baharu yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
“Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan untuk tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus itu dan keputusan Jemaah Menteri adalah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.
“Disebabkan masa ini hanya terdapat caretaker government, adalah lebih penting untuk berjumpa (diadakan mesyuarat) dahulu,” katanya. – UTUSAN










