KOTA KINABALU: Melaksanakan segera hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan antara tawaran manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tawaran manifesto merangkumi satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif sebagai landasan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, Hajiji berkata, penetapan had maksimum Ketua Menteri untuk dua penggal merupakan antara kerangka reformasi GRS.
“Empat akujanji manifesto GRS digariskan iaitu pertama meneruskan ketegasan dalam pelaksanaan segera hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kedua, GRS menggariskan usaha mendapatkan hak berperlembagaan Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih dikembalikan kepada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
“Ketiga, GRS menegaskan kedaulatan dan mempertahankan keselamatan dan integriti sempadan wilayah, manakala keempat GRS menekankan keperluan memaknai autonomi wilayah,” katanya dalam pelancaran Manifesto GRS di sini hari ini.
Hajiji berkata, GRS menawarkan manifesto
memperkukuhkan sumber ekonomi melalui penerokaan kepelbagaian khazanah seperti potensi Ekonomi Digital dan Pemerdagangan Kredit Karbon.
“Selain itu, mencipta sumber pendapatan masa depan melalui pewujudan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah dengan suntikan modal permulaan daripada rizab negeri dan tambahan tahunan daripada hak Pemberian Khas 40 peratus,” katanya.
Katanya, GRS juga menggariskan merintis usaha menggandakan penjanaan kutipan hasil negeri mencecah sasaran RM10 bilion, selain menyelesaikan isu infrastruktur asas diwarisi iaitu bekalan air, elektrik dan jaringan hubungan jalan raya dan komunikasi.
“Seterusnya adalah menangani isu-isu utama yang diwarisi seperti kemiskinan, keperluan khas golongan rentan, peluang pekerjaan, perumahan, pengurusan bencana, pemodenan bandar dan transformasi daerah-daerah kurang membangun.
“Selain itu, melaksanakan reformasi kerangka perundangan dan institusi ke arah persekitaran yang mampan, progresif dan berintegriti serta tadbir urus yang baik termasuk penetapan had maksimum Ketua Menteri untuk dua penggal,” katanya. – UTUSAN










