KBS tingkat usaha bendung gejala dadah dalam kalangan belia

KBS tingkat usaha bendung gejala dadah dalam kalangan belia

HANNAH Yeoh menghadiri perjumpaan dengan pengurusan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada April lalu bagi mendapatkan maklumat tentang pembabitan remaja dalam salah guna dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru golongan belia yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah agar tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau malu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS tidak lagi semata-mata tertumpu kepada pencegahan, tetapi lebih kepada membantu golongan belia yang sudah terkesan untuk pulih dan membina semula kehidupan.

Katanya, kerjasama juga dijalin bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui program Rakan Muda bagi memberi sokongan kepada belia yang berisiko termasuk sesi kaunseling, aktiviti sukan dan program komuniti.

“Kerajaan komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan belia ndalam setiap aspek pembangunan negara,” katanya.

Hannah berkata, KBS turut mempertingkatkan usaha advokasi berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia menerusi pendekatan bersasar dan intervensi berkesan.

Katanya, data menunjukkan hampir 50 peratus pesakit dirawat akibat penyalahgunaan dadah terdiri daripada golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Tambahnya, poster dan video khas bagi meningkatkan kesedaran golongan itu terhadap bahaya penyalahgunaan dadah juga akan dihasilkan pihak kementerian.

“Kita telah dapatkan trend penggunaan dadah dalam kalangan belia,” katanya.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan maklumat mengenai pembabitan remaja dengan kes salah guna dadah dan mendapati 50 peratus pesakit pusat perubatan itu adalah belia.

Katanya, KBS juga memperkenalkan lima Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi penganjuran konsert muzik tari elektronik sebagai langkah membendung penyalahgunaan dadah seperti yang berlaku dalam satu konsert di Bukit Jalil sehingga mengorbankan empat penonton 31 Disember lalu.

Katanya, SOP baharu itu diwajibkan kepada semua penganjur yang menggunakan fasiliti KBS seperti Perbadanan Stadium Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang.

“Ia dilaksanakan secara kolaboratif bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan pengunjung,” katanya.

Antara SOP diperkenalkan termasuk penyediaan Hydration Point bagi mencegah dehidrasi, penempatan pasukan perubatan di lokasi konsert serta penyebaran mesej kesedaran melalui poster dan video.

Selain itu, unit anjing pengesan juga digunakan bagi kawalan keselamatan selain hospital berdekatan diarah bersiap sedia menghadapi sebarang kecemasan.

SOP itu juga diperluas kepada penganjur konsert di lokasi bukan milik kementerian sebagai langkah pencegahan.

Kawasan Safe Space oleh Majlis AIDS Malaysia akan ditubuhkan di lokasi konsert sebagai pusat maklumat mengenai bahaya dadah dan bahan terlarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN