JWP dan DBKL sokong Street Dakwah

JWP dan DBKL sokong Street Dakwah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran aktiviti dakwah seperti Street Dakwah di Bukit Bintang perlu dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyokong segala usaha dakwah dan sentiasa bekerjasama dengan jabatan serta agensi lain untuk memastikan penganjuran program mendapat kelulusan dan koordinasi sewajarnya.

“DBKL turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Jakim melalui bahagian dakwah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut berkoordinasi dengan DBKL bagi penganjuran Street Dakwah di Bukit Bintang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Hannah menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta pendirian Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengenai pelaksanaan program dakwah yang bersifat advokasi di ruang awam dan tidak mengganggu ketenteraman awam selaras kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan tambahan mengenai dakwaan rampasan bahan-bahan Street Dakwah, Hannah menegaskan isu tersebut tidak berkaitan dakwah sebaliknya membabitkan kanopi.

“Saya ingin membetulkan kenyataan YB bahawa Datuk Bandar baharu merampas bahan-bahan Multiracial Reverted Muslim (MRM). Ini satu fitnah dan kita perlu bersangka baik, terutama dalam bulan Ramadan. DBKL sudah mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan DBKL merampas reruai dan bahan dakwah MRM di Bukit Bintang pada 17 Februari lalu atas alasan menghalang laluan pejalan kaki, walaupun wakil MRM dikatakan menunggu lebih 30 minit sebelum pihak berkuasa bertindak.

Isu itu kini telah mencapai penyelesaian susulan pertemuan pendakwah bebas Firdaus Wong dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN