Great Eastern Takaful komited sediakan perlindungan inklusif

Great Eastern Takaful komited sediakan perlindungan inklusif

SHAHRUL Azlan Shahriman (tengah), Ketua MySalam Great Eastern Takaful Berhad, Syuhaib Ithnin (kiri) dan Ketua Pemasaran Great Estern Takaful Berhad, Rashida Mior Ahmad Darwish (kanan) di Menara Great Eastern, Kuala Lumpur. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menginjak usia 15 tahun, Great Eastern Takaful Berhad (GETB) terus melakar kejayaan dengan memberi perlindungan kepada lebih sejuta rakyat Malaysia sekali gus membuktikan komitmen utuhnya dalam memperkasa kesejahteraan sosioekonomi masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman berkata, pihaknya berpegang teguh pada prinsip dalam perlindungan berkesan yang kekal menjadi teras utama dalam setiap gerak kerja syarikat.

Katanya, GETB komited untuk menawarkan penyelesaian perlindungan yang lebih inklusif dan menyeluruh dengan memfokuskan kepada golongan kurang berkemampuan.

Justeru itu, katanya, pencapaian terbesar GETB adalah keupayaannya menyediakan perlindungan kepada individu, keluarga dan syarikat korporat selain menjadi pengendali utama Skim mySalam yang kini memberi manfaat kepada lebih 11 juta penerima daripada golongan B40.

“Menyediakan perlindungan kesihatan kepada golongan kurang berkemampuan dan kami telah membayar kepada pelanggan B40 menerusi skim ini.

“Bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia, terdapat sebanyak 143 kios mySalam di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara untuk membantu mereka menyemak kelayakan serta membuat tuntutan secara bersemuka.

“Dalam tempoh 15 tahun ini, GETB juga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan yang mengiktiraf usaha berterusan kami. Namun yang paling membanggakan adalah apabila kami berjaya memenuhi misi utama dalam memberi perlindungan dan manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai pendekatan GETB terhadap golongan B40, Shahrul berkata, pihaknya memfokuskan kepada penyediaan perlindungan yang mudah diakses dan mampu milik agar tiada yang tercicir daripada sistem perlindungan kewangan.

Katanya, usaha tersebut direalisasikan melalui pengenalan produk mikro-takaful dan program yang dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan golongan terbabit mendapat akses kepada informasi dan perlindungan takaful yang berkualiti.

“Produk seperti MikroSayang di bawah inisiatif Perlindungan Tenang membolehkan golongan berpendapatan rendah memperoleh perlindungan asas dengan serendah RM4.20 sebulan.

“Kami juga menjalankan program kesedaran di kawasan luar bandar termasuk rumah panjang dan Kampung Orang Asli yang jarang diberikan perhatian.

“Selain itu, kami turut menggunakan platform digital seperti TikTok untuk mendekati komuniti B40. Melalui TikTok Live, kami dapat menyampaikan maklumat tentang MikroSayang, skim mySalam dan literasi kewangan kepada lebih daripada dua juta rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu memberi impak positif kerana membolehkan lebih ramai individu yang sebelum ini kurang terdedah kepada perlindungan takaful untuk membuat keputusan yang lebih bijak dalam melindungi diri dan keluarga mereka.

“Amat penting untuk kita mendapatkan perlindungan sebelum terlambat dan jangan berlengah untuk membuat keputusan kerana setiap tindakan yang diambil adalah demi masa depan orang yang tersayang,” ujarnya.

Sementara itu, Shahrul berkata, penggunaan teknologi digital secara menyeluruh turut menyumbang kepada penambahbaikan
dalam aspek kecekapan operasi serta peningkatan kualiti perkhidmatan pelanggan.

Katanya, platform digital seperti Mobile Point of Sale (MPOS) telah membantu menguruskan proses pendaftaran dengan lebih pantas dan efisien selain membolehkan pelanggan mendapatkan perlindungan tanpa perlu hadir ke pejabat sekali gus menjimatkan masa dan kos.

“Melalui satu sesi TikTok Live, kami boleh capai sehingga 30,000 penonton dalam sejam berbanding seminar fizikal yang terhad kepada 500 orang.

“Platform digital bukan sekadar memudahkan operasi tetapi juga meningkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, GETB turut memberi penekanan terhadap pembangunan menerusi latihan komprehensif dan kerjaya yang jelas.

Jelasnya, kerjaya dalam takaful semakin mendapat tempat kerana ia menawarkan fleksibiliti dan potensi pendapatan yang tinggi berdasarkan komitmen dan prestasi individu berkenaan.

“Kami memberi latihan menyeluruh agar mampu memberi nasihat kewangan yang tepat kepada pelanggan. Ramai yang terdiri daripada golongan profesional memilih untuk menukar kerjaya kerana melihat potensi besar dalam industri ini.

“Kami juga sediakan pelbagai insentif menarik untuk menggalakkan serta membantu lebih ramai rakyat mendapatkan perlindungan,” jelasnya.

Menurut Shahrul lagi, pihaknya turut aktif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan kebajikan masyarakat melalui pelbagai program.

Jelasnya, antara inisiatif yang dijalankan termasuk usaha mengumpul lebih 108 tan bahan kitar semula menerusi kerjasama dengan pihak konsesi, sekolah dan komuniti tempatan.

“Mesin upcycling atau hasil semula dibawa ke sekolah bagi mendidik pelajar mengenai proses penghasilan barangan seperti sikat dan pembaris sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar.

“Program tersebut bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap alam sekitar malah membina kreativiti serta memberi pendedahan awal kepada konsep literasi kewangan dalam kalangan pelajar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN