ASNB COVR tawar pelabur perlindungan takaful serendah RM40

ASNB COVR tawar pelabur perlindungan takaful serendah RM40

ARSHAD Raja Tun Uda (tiga, kiri) bersama Pengerusi Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Sulaiman Mohd Tahir (empat, kiri) melancarkan ASNB COVR dengan kerjasama Takaful Ikhlas Family Berhad di Merdeka Boulevard 118, Kuala Lumpur. Turut hadir, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee (dua, kiri) dan Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), melancarkan ASNB COVR, sebuah inisiatif kolaborasi antara ASNB dan Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS).

Menerusi ASNB COVR, pemegang unit boleh  membayar sebanyak RM40 sebulan untuk menikmati perlindungan takaful sehingga RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, ASNB COVR adalah perkhidmatan perlindungan takaful hibrid unik di mana 75 peratus dari simpanan bulanan akan dilaburkan ke dalam unit amanah pilihan pemegang unit dan 25 peratus lagi dimasukkan ke dalam takaful, dikelola sepenuhnya oleh Takaful Ikhlas.

“ASNB COVR membolehkan pelabur kami membina simpanan mereka melalui pelaburan ASNB, pada masa yang sama menikmati perlindungan takaful untuk diri dan orang tersayang.

“Dengan menawarkan lima pelan mampu milik, serendah RM40 hingga RM200, pelabur boleh mendapatkan perlindungan takaful komprehensif termasuk manfaat perlindungan untuk kematian, hilang upaya kekal,  penyakit kritikal dan khairat kematian,” katanya sempena Majlis Pelancaran ASNB COVR di Merdeka Boulevard 118 di sini, hari ini.

Menurut beliau, kesemua pelan boleh dilanggan dan diuruskan dengan mudah melalui portal dan aplikasi myASNB.

“Selain itu, sempena pelancaran ini, ASNB turut menjalankan kempen COVR Hidupmu yang memberi peluang kepada pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah menarik. 

“Pemegang unit sedia ada mahupun orang ramai, boleh menyertai kempen COVR Hidupmu dengan melanggan ASNB COVR pakej COVR120 dan berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM3,000,” katanya. 

Kempen bermula dari 25 Ogos lalu hingga 31 Januari 2026.

Fadzihan Abbas berkata, kempen tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif dinamakan ‘Kita Generasi Labur’, iaitu usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang celik kewangan dan mampu mencapai kemerdekaan kewangan sebenar. 

“Antara tarikan menarik di bawah inisiatif ini ialah kempen Pandu Impianmu, Gen Labur, memberikan peluang kepada pemegang unit untuk memenangi sebuah kereta impian apabila mereka memilih untuk disiplin dalam melabur,” katanya. 

Beliau berkata, ASNB turut menyasarkan 10 peratus daripada 13.7 juta pemegang unit menyertai ASNB COVR. 

Sementara itu,Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuhkan perlindungan kewangan, malah turut memperluaskan akses kepada perlindungan takakaful yang inklusif untuk pemegang unit ASNB.

“Bagi ASNB COVR ini, ia tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan untuk menikmati perlindungan yang disediakan, pemegang unit ASNB hanya perlu melanggan secara talian melalui aplikasi mudah alih dan portal MyASNB. 

“Selain itu, tuntutan takaful juga boleh dihantar melalui aplikasi dan portal yang sama,” katanya. 

Menurut ASNB, pelancaran ASNB COVR melambangkan komitmen kumpulan untuk memperkasakan rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk melabur tetapi juga untuk melindungi masa depan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN