PETALING JAYA: Kerajaan negeri Sarawak disaran menilai semula pelaksanaan projek-projek mega susulan pengumuman Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai semakan dasar pembangunan negeri berikutan cabaran global semasa.
Antara projek yang dijangka berdepan cabaran ialah pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu serta peluasan industri gas negeri yang mungkin terkesan akibat peningkatan tarif Amerika Syarikat dan kejatuhan harga minyak dunia.
Namun demikian, penganalisis berpendapat faktor-faktor tempatan juga perlu dinilai semula bagi memastikan kejayaan jangka panjang projek-projek berkenaan.
Kekurangan bakat jejas operasi
Rakan kongsi ADA Southeast Asia, Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, kekurangan tenaga mahir merupakan antara faktor utama yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek berskala besar seperti Air Borneo dan Petros.
Menurutnya, kekangan sumber manusia bukan sahaja boleh mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan, malah menyukarkan operasi serta penyelenggaraan projek dalam jangka masa panjang.
“Antara cabaran ketara ialah kekurangan bakat untuk mengisi jawatan-jawatan penting serta sektor pekerjaan am.
“Lebih memburukkan keadaan, rakyat Malaysia dari luar Sarawak masih perlu mendapatkan permit untuk bekerja di negeri ini,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar dasar imigresen negeri dilonggarkan bagi membolehkan pengambilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dari seluruh negara secara lebih mudah dan efisien.
Lapangan terbang baharu mungkin tidak digunakan sepenuhnya

Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman berkata, terdapat kebimbangan terhadap permintaan yang rendah serta kemungkinan berlakunya pembaziran kapasiti bagi pembinaan lapangan terbang baharu.
Menurutnya, projek tersebut yang disasarkan menjadi hab penerbangan serantau itu direka untuk menampung sehingga 15 juta penumpang setahun.
Katanya, jumlah tersebut adalah lebih dua kali ganda berbanding kapasiti semasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang mencatat kira-kira tujuh juta penumpang pada tahun lalu.
“Perluasan infrastruktur sememangnya satu langkah strategik untuk merancakkan sektor pelancongan dan hubungan perniagaan. Namun, kapasiti yang dicadangkan adalah jauh melebihi keperluan semasa.
“Dengan jumlah peruntukan mencecah RM100 bilion termasuk pembinaan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, pengurusan projek perlu dilakukan secara teliti agar ia tidak menjadi beban kewangan kepada negeri,” katanya.
ART hidrogen perlu diteliti semula
Dalam pada itu, Samirul berkata, Projek Sistem Pengangkutan Autonomi Kuching (ART) berasaskan hidrogen yang menelan kos RM6 bilion turut menimbulkan persoalan dari segi keberkesanan serta kos jangka panjang.
Katanya, fasa pertama projek itu melibatkan jarak sejauh 70 kilometer, merangkumi tiga laluan dan 31 stesen, yang dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.
“Penggunaan tenaga hidrogen sememangnya bersifat inovatif, namun ia turut membawa cabaran besar dari segi kos bahan api, pembinaan infrastruktur dan penyelenggaraan,” jelasnya.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong turut mempertikaikan jumlah peruntukan tinggi bagi projek tersebut.
Beliau berkata, syarikat pembekal dari China yang dilantik untuk mengeluarkan kenderaan ART bagi Sarawak telah menghentikan pengeluaran untuk pasaran domestik mereka sendiri disebabkan kos penghasilan bahan api hidrogen yang terlalu tinggi.
Pelan gas Sarawak perlu sokongan pelabur
Sementara itu, seorang penganalisis yang enggan namanya didedahkan berkata, Pelan Gas Sarawak 2030 yang merangkumi penerimaan 1.2 bilion kaki padu gas asli sehari daripada Petronas dijangka menjadi antara pemacu utama pembangunan industri negeri.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pelaksanaan pelan tersebut menuntut pelaburan yang amat besar, dianggarkan mencecah RM65 bilion bagi pembangunan loji pemprosesan dan saluran paip.
“Kejayaan pelan ini bergantung sepenuhnya kepada minat pelabur asing.
“Sarawak tidak mampu menampung pelaburan berskala besar ini secara bersendirian,” katanya.
Sementara itu, Samirul berkata, tumpuan berlebihan terhadap sektor tenaga dan infrastruktur boleh mengehadkan usaha negeri untuk mempelbagaikan sumber ekonomi dalam jangka panjang.
Sumber pembiayaan perlu diimbang
Menurut Asrul Hadi, buat masa ini, kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menanggung kos projek-projek mega sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonomi jangka panjang.
Katanya, kemakmuran ekonomi amat penting bagi Sarawak untuk memperkukuh kedudukan dalam menuntut lebih banyak autonomi politik, khususnya dalam landskap politik persekutuan yang masih tidak menentu.
Namun begitu, Asrul Hadi memberi amaran bahawa keputusan pilihan raya umum akan datang mungkin lebih stabil dan tidak lagi memihak kepada Sarawak sebagaimana sebelum ini, sekali gus boleh melemahkan kuasa rundingan negeri.
“Sarawak dijangka terus bergantung kepada hasil minyak dan gas bagi membiayai projek-projeknya.
“Setakat tahun 2024, Petronas telah menyumbang sebanyak RM96 bilion kepada negeri itu, tidak termasuk pelaburan huluan dan pembangunan infrastruktur bernilai RM280 juta,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan Petros sebagai pengagregat gas domestik serta pemberian khas RM600 juta daripada kerajaan Persekutuan di bawah semangat
Perjanjian Malaysia 1963 dijangka dapat meningkatkan hasil negeri secara signifikan.
“Selain itu, Sarawak turut menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion di bawah Belanjawan 2025.
“Namun, kadar perbelanjaan negeri kekal rendah, hanya 54.43 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, berbanding purata kebangsaan sebanyak 65.83 peratus,” katanya. – UTUSAN