PETALING JAYA: Pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak mampu menamatkan persepsi negatif rakyat kedua-dua negeri tersebut terhadap Semenanjung, mengenai keputusan sepihak di peringkat Persekutuan.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, persepsi keputusan sepihak dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak dimaksudkan adalah keputusan yang memberi lebih kelebihan kepada rakyat Malaysia di Semenanjung.
Katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bagi meluluskan sesuatu akta di Dewan Rakyat ia perlu mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan ia dilihat kerugian kepada Sabah dan Sarawak jika sesuatu akta diluluskan bersifat sepihak.
“Jadi kalau kita tiada kelebihan untuk menghalang mana-mana akta yang tidak berpihak kepada Sabah dan Sarawak itu agak merugikan. Di situ timbul ketidakpuasan kerana ada pandangan bahawa jika tiada kelebihan 30 peratus itu ia mewujudkan keputusan sepihak.
“Keduanya, sudah semestinya Sabah dan Sarawak amat mengharapkan (pertambahan kerusi Parlimen) itu berlaku bagi memastikan hak-hak yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan dapat dimartabatkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, wujud cadangan meminda jumlah kerusi Parlimen untuk memenuhi kuota satu pertiga atau 35 peratus mewakili Sabah dan Sarawak.
Untuk rekod, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen dengan jumlah keseluruhan 56 kerusi di Dewan Rakyat.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah seperti dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 selepas kedua-dua negeri tersebut memohon kerajaan mempertimbangkan supaya bilangan kerusinya ditambah.
Romzi berkata, secara peribadi beliau mahu melihat pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dapat direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dilaksanakan dan bukan hanya pengumuman sahaja.
Beliau percaya, sekiranya perkara itu direalisasikan, rakyat di kedua-dua negeri akan lebih gembira untuk berada di bawah ‘payung’ Persekutuan Malaysia.
“Jika unsur ketidakpuasan ini tidak diselesaikan ia amat merugikan kerajaan sendiri. Jadi perlu ambil peranan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Kerajaan Persekutuan dan kalau boleh jangan hanya pengumuman sebaliknya laksanakan sebelum PRU akan datang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pengumuman itu amat dialu-alukan untuk dilaksanakan walaupun ia tidak disebut secara spesifik dalam MA63 bahawa Sabah dan Sarawak perlu diperuntukkan satu per tiga daripada kerusi di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, semangat itu adalah prasyarat untuk Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia.
“Dokumen laporan Suruhanjaya Cobbold 1961 dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) boleh dirujuk kerajaan untuk melaksanakan hasrat tersebut.
“Seperti juga pelaksanaan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, iaitu 40 peratus cukai dikutip di Sabah dikembalikan, rakyat Sabah telah lama menanti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap perkara ini,” katanya. – MINGGUAN










