LIMBANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sarawak kini dikenali sebagai gergasi dalam pembangunan khususnya tenaga baharu dunia.
Menurut Perdana Menteri, ke mana sahaja beliau pergi seperti Geneva, Paris, Jepun, semua orang berbicara tentang Sarawak sebagai gergasi tenaga baharu di rantau ini.
“Esok saya juga merasmikan teknologi baharu di Kuching, lihat bagaimana Sarawak kini ke depan daripada negeri lain,” katanya berucap menyempurnakan majlis peluncuran Projek Sarawak – Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) di Nanga Medamit di sini, semalam.
Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Hasbollah.
Kata Anwar, Sarawak kini juga bukan seperti 50 tahun yang lalu tetapi jauh ke hadapan hasil kepimpinan bijak kerajaan diterajui Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sekali gus menjadikan masyarakat dunia kini lebih mengenali Sarawak sebagai sebuah wilayah yang membangun.
Katanya, beliau kagum dengan visi ke hadapan Sarawak dan menjemput Abang Johari untuk berkongsi pandangan mengenai pembangunan bersama dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
“Ada mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri seluruh Malaysia yang dipengerusikan saya sendiri.
“Saya menjemput Premier Sarawak berkongsi bagaimana pandangan ke hadapan beliau kerana ada negeri yang asyik minta sahaja tetapi idea tidak ada,” katanya.
Sementara itu, Anwar bersetuju untuk membangunkan Klinik Kesihatan (Jenis 5) yang baharu di Limbang dengan peruntukan sebanyak RM11 juta, yang dijangka mula dibina tahun depan.
“Saya tanya Premier, beliau kata tanah ada, saya tanya Fadillah, beliau kata jalan semua ada.
“Anggaran kos adalah lebih kurang RM10 juta hingga RM11 juta, jadi Alex (Alexander), kita luluskan sekarang dan cuba jalankan mulai tahun depan, secepat mungkin,” katanya.
Pengumuman Perdana Menteri itu adalah susulan permohonan Hasbi, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, agar klinik kesihatan lama di seberang Sungai Limbang yang kini berada dalam keadaan daif diganti segera dengan bangunan baharu yang selesa serta selamat.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, keyakinan dunia terhadap Malaysia khususnya Sarawak dalam industri berteknologi tinggi semakin meningkat susulan pelancaran X-FAB Sarawak 40K Fab Expansion di Samajaya High-Tech Park.
Katanya, komitmen pelaburan berjumlah RM3 bilion itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran malah mengangkat Sarawak sebagai peneraju baharu dalam industri semikonduktor dan teknologi front-end fabrication di rantau ini. – UTUSAN










