KUALA LUMPUR: Jenama kopi Malaysia, ZUS Coffee, bersama-sama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menghidangkan 10,000 juadah berbuka puasa di Gaza sepanjang bulan Ramadan lalu supaya mereka dapat berbuka puasa dengan tenang dan selamat walaupun menghadapi kesukaran yang berterusan di wilayah itu.

Komuniti ZUS Coffee telah mengumpulkan banyak RM266,000 melalui inisiatif ZUS CARES, yang dipaparkan di dalam aplikasi ZUS Coffee. Sumbangan ini secara rasminya telah diserahkan kepada MAPIM bagi membantu program ini dan memastikan keluarga-keluarga di Gaza mendapat sokongan sepanjang bulan Ramadan yang mulia.
Inisiatif ZUS CARES berterusan sehingga kini, yang membolehkan pelanggan menyokong usaha-usaha bermakna bagi golongan yang memerlukan. Ia ialah ciri menderma di dalam aplikasi ZUS Coffee yang membolehkan pelanggan menyumbang kepada inisiatif derma yang telah disahkan semasa membuat pembayaran.

Walaupun penyerahan sumbangan ini berlaku pada bulan Ramadan, semangat memberi dalam kalangan rakyat Malaysia telah terbukti sejak dahulu lagi, dengan sokongan berterusan dari semasa ke semasa.
“Ramadan adalah masa muhasabah, kesyukuran dan untuk memberi. Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami yang telah bersama-sama, melalui platform ZUS CARES, menyokong keluarga-keluarga di Gaza.
“Kami berasa rendah diri melihat kemurahan hati yang berterusan daripada komuniti kami. Sumbangan kolektif ini menunjukkan tindakan kebaikan yang kecil, apabila dilipatgandakan, boleh mencipta kesan yang mendalam dan berkekalan,” kata Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee,Venon Tian.
Bagi kebanyakan orang di Gaza, sokongan ini lebih daripada sekadar hidangan biasa. Ia adalah simbol perpaduan dan mesej harapan. MAPIM merakamkan ucapan terima kasih yang mendalam atas sumbangan ikhlas itu yang menekankan kemurahan hati akan membantu mengekalkan usaha bantuan yang penting dan menaikkan semangat mereka yang menghadapi kesukaran.

Sumbangan itu juga datang pada ketika usaha-usaha kemanusiaan di Gaza menghadapi cabaran yang amat besar.
Hanya beberapa hari selepas penyerahan itu, MAPIM meratapi kehilangan lapan anggota kemanusiaannya, yang terkorban secara tragis dalam serangan udara.
Dedikasi dan pengorbanan mereka menjadi peringatan yang kuat tentang risiko yang dihadapi oleh mereka yang bekerja di lapangan dan keperluan mendesak untuk sokongan berterusan. – UTUSAN