Kampus UKM Qatar: Hadiah Perjuangan Anwar Ibrahim

Kampus UKM Qatar: Hadiah Perjuangan Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim menyempurnakan peluncuran Kampus UKM Qatar yang akan memulakan sesi pengajarannya pada Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seperti gerup dengan sisir, begitulah ibaratnya hubungan istimewa Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Universiti Watan ini sejak bertahun lamanya. Jika 54 tahun dahulu, beliau pernah mengetuai gerakan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada sekitar tahun 1967–1969 (sewaktu pemimpin itu belajar di Universiti Malaya), hari ini, beliau boleh tersenyum bangga melihat legasi universiti ini berkembang megah di serata pelusuk dunia.

Semestinya perjuangan Perdana Menteri Malaysia ini didorong oleh kecintaan beliau terhadap bahasa dan budaya Melayu yang mengalir dalam tubuhnya. Ibarat membujur lalu melintang patah, kepercayaan beliau terhadap kemampuan bahasa Melayu di persada akademik global mendorong kepada sebuah perjuangan panjang ke arah penubuhan dan pemerkasaan sebuah Universiti Watan yang dibina demi memenuhi tuntutan dan pengisian kemerdekaan negara.

Ternyata usaha yang dicurahkan oleh figura Malaysia Madani sewaktu usia mudanya ini tidak sia-sia. Hari ini, perjuangan Anwar membina UKM sebagai lambang keilmuan masyarakat yang beridentitikan negara bangsa mencetus hasil luar biasa.

Perasmian Kampus UKM Qatar

Penubuhan Kampus UKM Qatar menjadi bukti sokongan Universiti Watan ini terhadap aspirasi yang digariskan kerajaan. Apabila konsep Malaysia Madani diluncurkan, UKM berazam untuk memenuhi setiap elemen yang terkandung dalam kerangka tersebut dengan prakarsa serta pengisian yang mempunyai kesan riak yang positif (positive ripple effects) terhadap masyarakat; bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia.

Justeru, hasrat The Regional Group Qatar untuk melebarkan sayap dalam bidang pendidikan melalui kerjasama strategik dengan UKM disambut mesra. Hasilnya, lima program secara pesisir iaitu Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Sains Komputer, Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dan Sarjana Muda Sains Aktuari akan mula ditawarkan bermula sesi Oktober 2024.

Bagi menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif, sebuah kampus enam tingkat yang lengkap dengan fasiliti telah berjaya dibangunkan. Kemuncaknya, pada 14 Mei lalu, seluruh rakyat Malaysia boleh berbangga dengan perasmiannya oleh Perdana Menteri.

Apa Disemai, Itu Dituai

Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walau perjuangan memartabatkan Universiti Kebangsaan ini tidak bernoktah, sokongan tetap diberikan tanpa jemu dan lelah. Terima kasih juga diucapkan kepada Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan pasukan pentadbiran UKMShape yang bertungkus-lumus menjayakan projek mega ini semenjak tahun 2021 lagi.

Dalam ucapannya, Zambry pernah menyeru agar semua universiti meneroka peluang bersama, demi menawarkan pendidikan bermutu kepada masyarakat dunia. Ini disusuli dengan saranan agar semua IPT tidak lagi bekerja secara silo, berkongsi kepakaran dan fasiliti serta menjalin sinergi erat dengan pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa.

Apa disemai, itu yang dituai. Justeru, selepas melewati pentadbiran tiga orang menteri Kementerian Pengajian Tinggi, kampus UKM Qatar secara rasminya sudah beroperasi. Saya percaya, pada hari ini, Perdana Menteri Malaysia sedang menikmati hasil tuaian beliau sendiri.

Selepas 54 tahun berdiri gagah di gelanggang sendiri, UKM kini sudah bersedia bertarung di tanah asing pula. Dalam masa terdekat, proses penubuhan hospital UKM Qatar serta pelaksanaan Program Pengajian Perubatan UKM yang kedua bakal ditawarkan di luar negara selepas Indonesia dan Maldives.

Semestinya ruang penyelidikan dan perundingan buat warga IPT tidak terhenti setakat ini sahaja. Buat pertama kalinya, UKM Pakarunding pula telah diberi kepercayaan bersama UKMShape bagi meneroka peluang perundingan selain bidang akademik di peringkat antarabangsa.

Kata orang, takkan lari gunung dikejar, hilang kabus tampaklah ia. Begitulah ibaratnya usaha berterusan yang dicurahkan oleh Universiti Watan ini; tidak terburu-buru namun keberhasilannya pasti ada.

Penulis ialah Naib Canselor
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN