Semangat juang yang harus dihidupkan mahasiswa

Semangat juang yang harus dihidupkan mahasiswa

MAHASISWA wajar mencontohi keberanian, ketabahan dan semangat juang sukarelawan Sumud Flotilla yang sanggup berkorban demi mempertahankan kemanusiaan dan maruah umat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN pencabulan tanpa perikemanusiaan oleh Zionis Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan Sumud Flotilla ke Gaza amat mengguris perasaan masyarakat dunia, khususnya umat Islam.

Ia memperlihatkan betapa rendahnya nilai dan hak kemanusiaan masyarakat Islam di Gaza pada pandangan mereka. Tragedi ini sepatutnya menjadi pencetus kebangkitan besar dalam kalangan umat Islam, khususnya mahasiswa Islam di Malaysia dan negara-negara Islam lain.

Setelah puluhan tahun pendudukan haram Zionis Israel di Palestin, satu pengajaran penting dapat diambil iaitu demonstrasi dan slogan semata-mata tidak memberi kesan yang signifikan terhadap kepimpinan Zionis dan sekutu mereka, Amerika Syarikat (AS).

Bagi mereka, segala kutukan dan slogan antiIsrael melalui demonstrasi dan tunjuk perasaan hanyalah seperti ‘anjing menyalak bukit’ atau ‘embun di hujung rumput’ yang mana tidak memberi kesan nyata.

PERANAN MAHASISWA

Oleh itu, mahasiswa berperanan sebagai golongan terpelajar mampu memberi impak terhadap perjuangan pembebasan Palestin. Dalam pelbagai bidang pengkhususan, mereka perlu memainkan peranan aktif untuk mendorong perubahan dalam kebergantungan kepada teknologi barat, budaya hedonism atau hiburan tanpa batasan, kemantapan minda dan fizikal.

Mereka perlu mengambil inspirasi daripada kemampuan negara-negara Islam seperti Iran dan Pakistan yang berusaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi Barat, khususnya dalam bidang pertahanan negara.

Setiap tahun, universiti melahirkan puluhan ribu graduan dalam bidang sains dan teknologi dengan pelbagai pengkhususan. Persoalannya, adakah kualiti graduan yang dihasilkan institusi pengajian tinggi (IPT) mampu membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi Barat demi pembangunan negara?

Ini merupakan cabaran besar kepada semua mahasiswa untuk menilai semula tahap keilmuan dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Berapakah peratus teknologi komputer sama ada perisian atau perkakasan yang dibangunkan sendiri oleh graduan dari negara Islam, khususnya Malaysia? Sampai bilakah kita akan terus bergantung kepada teknologi Barat dalam bidang digital seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), rantaian blok dan lain-lain?

Kekejaman terhadap aktivis kemanusiaan dalam misi Sumud Flotilla Gaza seharusnya membangkitkan semangat mahasiswa untuk lebih fokus dan mengabaikan perkara-perkara remeh dalam kehidupan sebagai pelajar.

Mereka perlu memiliki iltizam yang tinggi untuk memastikan selepas ini akan lahir dalam kalangan mereka individu yang membangunkan sistem pengendalian atau perisian lain yang berasaskan nilai dan budaya tempatan.

Selain itu, negara amat memerlukan ramai jurutera tempatan yang terlatih dan berkualiti, mampu menghasilkan penemuan baharu dalam bidang kejuruteraan. Keupayaan ini penting untuk menjadikan Malaysia dan negara-negara Islam lebih berdikari serta bebas daripada kebergantungan kepada kuasa asing.

JANGAN LALAI

Budaya hedonisme dan hiburan tanpa batasan merupakan antara agenda jahat Zionis yang bertujuan melemahkan umat Islam dari dalam. Kegilaan terhadap hiburan seperti muzik, permainan video dalam talian dan seumpamanya boleh melalaikan mahasiswa daripada tugasan sebenar mereka, iaitu menuntut ilmu demi pembangunan masyarakat dan negara.

Lebih membimbangkan, jika bentuk hiburan tersebut mengandungi elemen yang merosakkan moral dan akhlak lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim, seperti pornografi dan perjudian dalam talian.

Sebagai warga terpelajar, mahasiswa perlu memiliki ketahanan minda dan iman yang kukuh untuk menghindari segala bentuk hiburan yang merosakkan. Insiden rampasan Sumud Flotilla oleh Zionis seharusnya dijadikan titik tolak pemikiran dan motivasi untuk memahami kejahatan musuh Islam dalam usaha mereka meracun golongan terpelajar demi menjayakan agenda penjajahan ke atas Palestin.

Sebagai pewaris kepimpinan negara, mahasiswa perlu memastikan kemantapan minda dan fizikal sentiasa berada pada tahap optimum. Semangat juang yang ditunjukkan wirawan Sumud Flotilla wajar dijadikan sandaran dalam menghadapi pelbagai tekanan mental.

Ketahanan fizikal mereka mengharungi ombak lautan seharusnya menjadi sumber motivasi kepada mahasiswa yang berdepan kelelahan dalam menuntut ilmu dan melaksanakan tugasan sebagai pelajar.

Bagi menjaga kesihatan fizikal, mahasiswa perlu menghindari tabiat buruk seperti merokok, penggunaan vape serta tidur lewat malam semata-mata untuk berhibur. Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada terlalu obses dengan media sosial sehingga menjadi malas membaca bahan ilmiah atau melatih pemikiran kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang inovatif.

Amalan pemakanan seimbang dan berpuasa secara berkala boleh membantu memantapkan lagi minda dan fizikal mahasiswa.

Pada masa sama, kelestarian kerohanian perlu juga dimantapkan selaras dengan semangat ketabahan yang ditunjukkan wirawan Sumud Flotilla.

Saranan kepada umat Islam agar bersiap siaga menghadapi cabaran musuh, termasuk pengganas Zionis, telah diabadikan dalam Surah al-Anfal, ayat 60. Firman Allah: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai institusi pendidikan berteraskan Islam kekal komited menerapkan semangat Sumud Flotilla dalam kalangan mahasiswa, khususnya pelajar baharu sesi 2025/2026.

Melalui pelbagai inisiatif di bawah kelolaan Pejabat Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti (ODRSDCE), antaranya usrah di kolej kediaman, penguatkuasaan kod pemakaian Islamik, pemerkasaan budaya keilmuan, program bakti siswa di peringkat tempatan dan antarabangsa, serta program kemantapan kerohanian dan kesihatan mental, UIAM berusaha membentuk jati diri mahasiswa yang seimbang dan berdaya saing selaras dengan semangat Malaysia Madani.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah di Kulliyyah Komunikasi dan Teknologi Maklumat (KICT) dan Pengetua Mahallah Salahuddin al Ayyubi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN