Kesepaduan ASEAN melangkau pelbagai isu rentas global

Kesepaduan ASEAN melangkau pelbagai isu rentas global

ANWAR Ibrahim berharap Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 minggu ini dapat mencapai beberapa keputusan termasuk mencari penyelesaian kon ik Myanmar dan kedamaian untuk Gaza. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu berkaitan Gaza antara perkara yang akan dibangkitkan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China minggu depan.

Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan beliau dengan ketua-ketua pengarang media dan antarabangsa kelmarin.

Beliau mahu komuniti ASEAN dan juga GCC serta China bersatu dalam menyelamatkan rakyat Palestin daripada keganasan Israel.

Pada masa sama Anwar juga mahu rumah tangga ASEAN khususnya konflik di Myanmar dapat diselesaikan segera sejak krisis rampasan kuasa berlaku pada tahun 2021.

Ekoran daripada konflik di Myanmar ketika itu, para pemimpin ASEAN telah mengadakan pertemuan di Jakarta, Indonesia untuk membincangkan tentang krisis yang berlaku dan hasilnya terbentuk Lima Perkara Konsensus ASEAN.

Lima perkara tersebut antaranya menghentikan keganasan, bantuan kemanusiaan, dialog antara negara, pelantikan wakil khas Myanmar dan libat urus wakil dengan semua pihak berkepentingan.

Dan dalam pertemuan penting itu, ketua junta yang mewakili Myanmar iaitu Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bersetuju dengan pembentukan konsensus berkenaan sebagai langkah penyelesaian kepada krisis yang telah berlaku.

Pelan ini sekali gus menunjukkan tekad dan pendirian ASEAN dalam isu berkaitan keganasan walaupun ada negara antarabangsa memandang sinis terhadap konflik yang tiada penghujung.

Anwar berpandangan ASEAN mampu memainkan peranan dan mempunyai pengaruh dalam mencari keamanan di Gaza dan konflik di Myanmar dapat dinoktahkan.

Ini semua boleh dilakukan menerusi kesepakatan negara anggota yang sentiasa berbincang termasuk menerusi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bermula Ahad ini.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar Ibrahim turut menggariskan visi negara untuk sebuah Asia Tenggara yang lebih bersatu padu dan yakin dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Perdana Menteri mengakui kerumitan cabaran terbesar di rantau ini dan beliau tidak mempunyai gambaran ia boleh diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Kita hanyalah pemain kecil di rantau ini, tetapi kita perlu stabil dari segi politik dan tahan uji dari segi ekonomi, serta membina hubungan kukuh dengan jiran-jiran kita,” katanya.

Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini daripada Laos dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Perdana Menteri turut menekankan kerjasama antara negara anggota, kepentingan ekonomi serantau serta inisiatif pelaburan dalam kalangan negara ASEAN serta menyatakan tekad untuk memacu ASEAN sebagai kuasa serantau yang berprinsip dengan hala tuju ekonomi jelas dan mampan.

Anwar mengambil contoh usaha pembangunan bersama di sempadan dengan selatan Thailand.

Di samping itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, negara anggota ASEAN semakin banyak berdagang menggunakan mata wang tempatan, dengan lebih 20 peratus perdagangan Malaysia dengan Indonesia dan China sudah pun dilakukan dalam ringgit atau yuan.

Beliau juga menyatakan matlamat demi memperkukuh perpaduan, meningkatkan perdagangan intra-Asean dan memberi tumpuan kepada ekonomi dan pelaburan.

Mengulas visi Perdana Menteri itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, pendirian Anwar terhadap keganasan di Gaza tersebut hakikatnya membuktikan hasrat beliau mahu menjadikan ASEAN lebih dihormati di peringkat global dan bukan sekadar dalam rantau ini.

“Penglibatan beliau dalam semua isu tanpa mengira sama ada dalam atau di luar komuniti ASEAN juga dijangkakan mampu menjadikan komuniti ini lebih dikenali dan diberi perhatian apabila bersuara dalam satu-satu isu di pentas antarabangsa.

“Ini disebabkan konsep yang memberikan kelainan sedikit dengan menjadikan ASEAN lebih berpusat pada kedudukan dan pendiriannya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Katanya, ASEAN sebagai sebuah gabungan yang dapat membentuk satu unit ekonomi juga mampu mengintegrasi ekonomi rantau ini dengan membawa pasaran yang lebih luas.

Bagi pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, hasrat dan matlamat ke arah perpaduan itu bertepatan dengan Komuniti Sosio Budaya ASEAN.

Menerusi aspek berkenaan, rakyat dalam kalangan negara anggota ASEAN dapat berinteraksi dan berhubung dengan lebih rapat dengan tidak hanya terhad kepada bahasa semata-mata.

“Hubungan budaya perlu digalakkan supaya penduduk ASEAN dapat mengenali cara hidup dan warisan warga ASEAN yang lain.

“Ini secara tidak langsung menjadikan komuniti ASEAN lebih mantap selepas dapat berkomunikasi yang tidak terhad kepada bahasa semata-mata, tetapi atas nama budaya berteraskan semangat kerjasama ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN