PARLIMEN: Malaysia, ASEAN bakal nyatakan kekesalan isu Gaza kepada Trump

PARLIMEN: Malaysia, ASEAN bakal nyatakan kekesalan isu Gaza kepada Trump

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Oktober depan bakal dijadikan medan untuk menegaskan kekesalan negara di rantau ini terhadap kekejaman dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehadiran Trump ke Malaysia ada hikmahnya kerana semua negara-negara yang bakal menghadiri sidang kemuncak itu akan dapat bersemuka dengannya untuk menyatakan sendiri pendirian masing-masing dalam isu membabitkan Gaza.

Katanya, sentimen terhadap Gaza dengan hubungan dua hala antara Malaysia, ASEAN dan AS tidak boleh dicampur-aduk sebaliknya menggunakan pentas tersebut untuk menyatakan pendirian.

“Ada baiknya jika kita dapat bersemuka, semua negara-negara boleh menyatakan dengan sendiri (pendirian terhadap kekejaman di Gaza) seperti mana kita menyatakan dengan sendiri (pendirian) ketika Setiausaha Negara AS datang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-48 baru-baru ini.

“Jangan kita campur adukkan, di situ nanti kita rasa kita akan dapat membawa suara ASEAN untuk menegaskan betapa ASEAN sebulat suara (kerana) kita berjaya mendapatkan kenyataan bersama bahawa ASEAN kesal terhadap kekejaman ke atas rakyat Palestin.

“Itu kita akan bawa, jangan campur adukkan, hubungan dua hala tetap kita adakan,” katanya pada Sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) bertanyakan kewajaran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjemput Presiden AS, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Kuala Lumpur sedangkan tangannya berlumuran dengan darah rakyat Gaza.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia juga yakin bahawa AS terutamanya Trump sendiri mahu melihat kekejaman Israel dapat dihentikan justeru, penegasan terhadap pendirian ASEAN akan dibuat ketika kehadirannya.

“Boleh jadi nanti kenyataan Pengerusia ASEAN iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembukaan sidang kemuncak itu nanti akan kita tekankan lagi betapa Amerika perlu menjalankan tanggungjawab sebagai negara besar untuk pastikan keadaan di Gaza diselesaikan segera,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan Kabinet rejim Zionis yang baru-baru ini memutuskan untuk mengambil alih Gaza sepenuhnya.

Katanya, tindakan rejim Zionis itu merupakan perbuatan terancang untuk menjajah wilayah tersebut.

“Baru-baru ini juga, Malaysia telah mengutuk keras tindakan rejim Zionis Israel, berkaitan agenda peluasan haram ‘Greater Israel’ serta perancangan pembinaan penempatan di kawasan E1 di antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki. 

“Inilah bukti tindakan-tindakan haram oleh rejim Zionis Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), malah turut menafikan kedaulatan Palestin serta menjadikan Penyelesaian Dua Negara mustahil untuk direalisasikan.

“Tragedi ini membuktikan dengan nyata bahawa kekejaman yang dilakukan adalah jenayah kemanusiaan yang melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa serta mencabuli prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuklah tindakan genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan merangkumi pemusnahan infrastruktur awam, pembersihan etnik dan juga pengusiran paksa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×