SALAH satu wawasan penting negara adalah untuk menjadi negara maju. Salah satu faktor penggerak negara maju adalah sumber manusianya perlu berkualiti. Itulah pendapat yang selalu kita dengar daripada pelbagai pihak. Perkataan ‘kualiti’ itu sendiri merupakan perkataan yang subjektif dan luas maknanya. Sumber manusia berkualiti boleh dilihat dalam pelbagai sudut. Bagi pendapat saya, sumber manusia berkualiti boleh dipupuk menggunakan empat domain utama iaitu domain berfikir, domain berkomunikasi, domain melaksana dan domain qalbu. Keempat-empat domain ia perlu dijadikan teras untuk mewujudkan sumber manusia yang berkualiti.
Saya juga telah mengupas tentang empat domain ini dalam artikel saya sebelum ini. Untuk artikel ini saya hanya ingin membincangkan bagaimana kemahiran melakar boleh mempengaruhi kualiti sumber manusia. Seterusnya mempengaruhi agenda negara maju. Kemahiran melakar ini terletak dalam domain komunikasi. Domain komunikasi terbahagi kepada 4 mod utama komunikasi iaitu komunikasi lisan, komunikasi bukan lisan, komunikasi teks dan komunikasi visual. Kemahiran melakar terletak dalam komunikasi visual lakaran.
Berdasarkan perkembangan terkini, kemahiran melakar menjadi keperluan yang sangat mendesak yang perlu dikuasai secara optimum oleh manusia. Adakah anda tahu? Masyarakat kita masyarakat visual.
Setiap informasi kompleks perlu disertakan elemen visual untuk mempermudahkan proses pemahaman kepada informasi tersebut. Senario ini menjadi lebih mendesak pada abad ini kerana masyarakat sangat bergantung kepada visual untuk membolehkan mereka membuat keputusan dengan lebih efektif. Komunikasi visual lakaran menjadi sangat penting dalam memastikan komunikasi dapat dilakukan dengan lebih efektif. Boleh disimpulkan, sumber manusia pada abad ini perlu diperlengkapkan dengan kemahiran melakar untuk membolehkan mereka berkomunikasi secara visual spontan dengan lebih efektif.
Bagaimana kemahiran melakar boleh mempengaruhi kualiti sumber manusia? Kita tahu komunikasi efektif menjadi teras kepada kualiti sumber manusia. Tanpa menguasai komunikasi efektif, sumber manusia yang kita lahirkan tidak akan mampu berfungsi secara optimum dan kemungkinan besar akan memberi impak negatif kepada pembangunan organisasi, masyarakat dan negara. Seperti yang sudah maklumkan dalam perenggan sebelum ini, komunikasi visual memainkan peranan amat penting kerana masyarakat kita masyarakat visual.
Kemahiran melakar akan dapat membantu sumber manusia tersebut menyampaikan idea-idea bernas secara visual spontan dengan efektif. Hasilnya sudah pasti akan memberi kesan positif kepada kualiti kerja sumber manusia tersebut. Hal yang sebaliknya akan berlaku jika sumber manusia tersebut gagal atau kurang mahir melakar.
Malakar
Apakah yang seharusnya kita lakukan untuk memahirkan sumber manusia dengan kemahiran melakar? Perancangan yang strategik perlu dilakukan untuk memastikan sumber manusia hari ini dan akan datang menguasai kemahiran melakar. Perancangan tersebut perlu dibuat secara jangka pendek dan jangka panjang.
Untuk perancangan jangka pendek, kempen secara berterusan oleh pihak berwajib atau pihak berkepentingan memberi kesedaran kepada sumber manusia sedia ada tentang kepentingan lakaran mempengaruhi kualiti kerja mereka. Selain daripada itu, kursus-kursus tentang kemahiran melakar untuk berkomunikasi perlu digerakkan secara menyeluruh di seluruh negara. Perlu diingat, kemahiran melakar hanyalah asas kepada komunikasi visual lakaran. Pengetahuan khusus perlu dilatih secara formal untuk membolehkan kemahiran lakaran digunakan secara berkesan dalam komunikasi visual lakaran. Manakala perancangan jangka panjang perlu melibatkan pendidikan daripada pra sekolah sehinggalah pendidikan tinggi.
Guru-guru dan pensyarah perlu dilatih dengan kemahiran melakar untuk komunikasi visual lakaran. Setiap silabus dalam semua mata pelajaran perlu ada elemen memupuk kemahiran melakar untuk menyampaikan idea-idea bernas.
Usaha ini perlu diteruskan kepada mereka setelah tamat pengajian dan berada dalam pasaran kerja. Setiap organisasi perlu diwajibkan mempunyai agenda memupuk kemahiran melakar untuk berkomunikasi.
Saya cukup yakin jika semua usaha ini kita lakukan, kualiti komunikasi efektif sumber manusia tersebut akan dapat berfungsi secara optimum. Seterusnya menyumbang kepada sumber manusia yang berkualiti.
Kemahiran
Apa usaha segera yang boleh diusahakan untuk membolehkan sumber manusia hari ini dan akan datang menguasai kemahiran melakar untuk komunikasi visual lakaran? Mudah sahaja jawapannya, perlu ada usaha untuk belajar dan memahirkan diri untuk melakar. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan dengan menyertai kursus-kursus berkaitan lakaran untuk komunikasi visual spontan. Modul-modul kursus seperti ‘Visual Leaders’ dan ‘Visual Communication Through Freehand’ adalah modul yang memberi pendedahan tentang asas melakar untuk berkomunikasi. Amat sesuai disertai oleh pelbagai peringkat dan bidang pekerjaan mereka.
Apakah kesan jika sumber manusia hari ini dan akan datang tidak menguasai kemahiran melakar? Anda boleh rujuk ilustrasi yang disediakan. Sudah pasti sumber manusia yang hanya mampu menulis teks dan tidak mahir melakar akan menjadi sumber manusia kurang berkualiti berbanding mereka yang mampu menyampaikan idea dalam bentuk lakaran visual. Seterusnya memberi impak kepada kemajuan organisasi, masyarakat dan negara. Kita boleh membayangkan bagaimana keadaan sesebuah organisasi, masyarakat mahupun negara jika informasi atau idea-idea bernas tidak disampaikan secara objektif dan efektif. Sudah pasti kualiti kepada organisasi, masyarakat dan negara akan tergugat dan memberi kesan negatif kepada semua.
Langkah proaktif
Kenyataan saya diatas hanya akan berlaku sekiranya semua pihak memahami dan mengambil langkah proaktif memastikan organisasi mereka mahir melakar. Tetapi hal sebaliknya akan berlaku jika tiada usaha yang dilakukan. Tetapi kita sebagai individu dan juga merupakan satu unit daripada sumber manusia negara boleh memulakan langkah pertama. Kita tidak perlu menunggu organisasi atau pihak berkepentingan untuk mengadakan kursus atau menghantar kita menyertai mana-mana kursus yang membolehkan kita menguasai kemahiran melakar.
Kita perlu proaktif memastikan diri sendiri menguasai kemahiran melakar untuk berkomunikasi. Kita boleh menyertai bengkel-bengkel melakar secara atas talian atau secara bersemuka. Salah satu platform atas talian yang menyediakan video-video latih tubi memudahkan anda menguasai kemahiran melakar adalah Drawzania. Platform ini telah dibangunkan oleh anak tempatan bertujuan membolehkan masyarakat dunia menguasai kemahiran melakar untuk menzahirkan idea. Anda boleh scan kod QR untuk membolehkan anda melanggan secara online. – UTUSAN











