SETIAP kali musim cuti persekolahan, segelintir ibu bapa pasti berdepan dilema untuk merancang aktiviti bermanfaat buat anak masing-masing.
Sama ada apakah si cilik perlu diasak dengan program bersifat akademik atau memberi peluang kepada anak-anak meneroka potensi diri menerusi minat dan kecenderungan pada sesuatu bidang.
Namun, merancang aktiviti bermanfaat waktu cuti sekolah, tidak mudah direalisasikan kerana yuran perbelanjaan bagi program dan kelas intensif seperti akademik, seni dan seni mempertahankan diri umpamanya, membabitkan peruntukan kewangan yang agak tinggi.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, bagi ibu bapa berkemampuan, tentunya tiada masalah untuk berbuat demikian kerana memiliki kewangan yang kukuh.
Namun, tidak bagi keluarga B40, lebih-lebih lagi dalam situasi kos sara hidup yang makin meningkat kini.
“Kerisauan saya adalah pada ibu bapa yang ada kekangan ekonomi dan tidak mampu menghantar anak ke program-program cuti sekolah.
“Dalam masa sama, mereka juga tidak dapat meluangkan masa bersama si cilik berikutan perlu bekerja.
“Disebabkan tiada aktiviti ketika cuti sekolah, ibu bapa bimbang anak-anak leka bermain telefon pintar sepanjang hari di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Penggunaan gajet terlalu lama tanpa pemantauan boleh mengundang masalah-masalah lain terutama apabila anak-anak melayari media sosial atau bermain permainan video.
Situasi ini jauh berbeza dengan anak-anak pada zaman dahulu yang mempunyai banyak aktiviti di masa cuti termasuk menangkap ikan, mandi sungai, berkebun dan memetik buah-buahan untuk jualan.
SUSUN SEMULA MODUL TAMBAHAN
Bagi mengatasi isu itu, beliau menyarankan kerajaan menyusun semula modul-modul tambahan yang dipadatkan dalam kurikulum sekolah pada masa ini.
Modul itu termasuk bijak kewangan, keselamatan jalan raya, alam sekitar dan karamah insaniah.
Kebanyakan modul berkenaan tidak semestinya dilakukan pada sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), sebaliknya boleh dilaksanakan ketika musim cuti sekolah.
Jelas Mohd. Nazri, langkah itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada murid, bahkan melegakan guru-guru.
Hal itu kerana, aktiviti PdP tidak lagi terganggu atau terjejas, justeru cikgu dapat menyelesaikan seluruh sukatan pelajaran pada tempoh yang ditetapkan.
“Pelaksanaan modul-modul ini baik cuma tidak perlu dipadatkan dalam kurikulum sedia ada.
“Apabila terlalu padat, ia boleh mengganggu PdP sehingga satu hari dan bayangkan bagaimana cikgu mahu mengejar masa untuk menyelesaikan semula bab yang tertangguh itu,” katanya.
Mohd. Nazri berkata, murid-murid terpilih boleh datang ke sekolah selama beberapa jam pada musim cuti untuk mengikuti modul tambahan itu.
Dalam masa sama, ia dapat mengisi masa lapang golongan sasar dengan aktiviti berfaedah sekali gus menghilangkan kerisauan ibu bapa.
“Banyak manfaatnya jika modul ini disusun semula kerana ibu bapa tidak perlu bimbang mengatur aktiviti anak-anak sebab ia boleh dinikmati secara percuma di sekolah.
“Paling menarik, penyampaian modul juga lebih berfokus dan murid-murid dapat menumpukan sepenuh perhatian berbanding ketika PdP mereka sibuk dengan tugasan atau kerja sekolah,” katanya.

LIBAT SUKARELAWAN IPT, NGO, SWASTA
Sebarang aktiviti berkaitan modul tambahan pada musim cuti sekolah tidak melibatkan peranan guru-guru.
Sebaliknya, segala urusan itu boleh dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Pada zaman saya dulu, ada agensi kerajaan yang menganjurkan kem motivasi untuk pelajar Tingkatan 1 pada musim cuti sekolah selain jamboree pengakap.
“Tetapi kini, pendekatan tersebut mungkin sudah tiada dan saya tengok kebanyakan sekolah sunyi sepi pada waktu cuti.
“Justeru, ini merupakan masa terbaik untuk pihak terlibat menjalankan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam memperkasakan murid dengan sosialisasi, perpaduan, sahsiah serta
perwatakan diri,” katanya.
Pihak-pihak berkenaan turut boleh mengatur pelbagai pengisian menarik dengan murid termasuk yang
berkonsepkan pertandingan dan permainan. –UTUSAN










