Teruja, seronok kembali ke sekolah - Utusan Malaysia

Teruja, seronok kembali ke sekolah

SEORANG murid melengkapkan suntikan kedua dos vaksin sebagai persediaan menjalani sesi persekolahan bersemuka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Rata-rata murid di sini menzahirkan perasaan teruja dan gembira apabila dapat kembali ke sekolah semula bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bermula, semalam.

Lebih membanggakan, rata-rata murid di pulau bebas cukai itu berazam belajar bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan penuh dengan menyifatkan kelas bersemuka sebagai medium terbaik menuntut ilmu.

Seorang murid, Muhammad Zhafiy Izzfan Rafizal, 12, berkata, kesempatan kembali ke sekolah adalah perkara paling dinantikan lantaran sangat merindui suasana pembelajaran bersama rakan-rakan di dalam kelas.

“Sebelum ini, saya hanya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), jarang dapat bertemu kawan-kawan memandangkan semua perlu ada di rumah masing-masing. Bila dapat masuk sekolah, perasaan memang gembira.

“Kelas secara bersemuka juga lebih menyeronokkan kerana saya berada lebih dekat dengan guru. Jika ada perkara yang kurang difahami, dapat terus bertanyakan kepada guru,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lada, di sini semalam.

Terdahulu, Muhammad Zhafiy menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin SK Sungai Lada selepas kerajaan membenarkan golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima suntikan berkenaan.

Seorang lagi murid, Muhammad Abd. Aziz, 12, turut melahirkan rasa teruja selepas melengkapkan dua suntikan dos vaksin Covid-19 semalam.

“Saya berasa sangat gembira dapat melengkapkan dos vaksin hari ini (semalam) serta berasa tidak sabar berjumpa kawan-kawan sekolah dan guru-guru,” katanya.

PENGARAH Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad bertanya khabar kepada murid-murid di SK Sungai Lada ketika melakukan tinjauan di PPV sekolah itu.

Sementara itu, seorang waris, Noorlihan Abdul Alip, 40, menzahirkan keyakinan terhadap pengoperasian sekolah di Labuan selepas ramai murid di pulau terbabit melengkapkan dua dos vaksin.

“Apa dapat dikatakan, saya berasa lebih yakin kini untuk melihat anak-anak kembali ke sekolah selepas ramai antara mereka sudah menerima vaksin sekali gus memberi sedikit jaminan tentang tahap keselamatan murid serta guru.

“Selain itu, melihat kepada SOP digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) seperti mengurangkan kapasiti di dalam kelas serta penjarakan sosial, ia sedikit sebanyak memberi lebih keyakinan kepada waris murid untuk sesi bersemuka itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah di Labuan bermula 3 Oktober lalu dengan sesi pertama persekolahan membabitkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 selepas pulau bebas cukai itu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Fasa kedua persekolahan yang bermula semalam pula membabitkan murid sekolah rendah dan menengah meliputi Tingkatan 1,2,3 dan 4 dengan kapasiti kehadiran sebanyak 50 peratus serta dilaksanakan menggunakan kaedah flip classroom.

Pengoperasian sesi persekolahan di pulau bebas cukai itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan ketetapan di negeri Fasa 4 PPN. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya