Keenakan dan kelainan mi Singapura

Keenakan dan kelainan mi Singapura, nasi goreng haria di Ady Hot Wok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENU bihun Singapura sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan kita apabila berkunjung di kebanyakan restoran atau gerai. Hidangan berwarna putih dengan rasa lada hitam ini memberi kelainan tersendiri bagi para penggemarnya walaupun kelihatan cukup ringkas.

Cuma untuk mereka yang lebih sukakan mi kuning pasti sukar menunaikan hajat sekiranya mengidam menikmati hidangan ini.

Namun, usah bimbang kerana di gerai Ady Hot Wok pelanggan boleh menikmati mi Singapura dengan rasa yang cukup sedap.

Ady Hot Wok
Lokasi: 52, Jalan Putra Perdana 5e, Taman Putra Perdana, Puchong
Waktu Operasi: 5 petang sehingga 11 malam
Makanan popular: Bihun singapura

Paling penting, menu ini boleh digandingkan bersama cili jeruk untuk memberikan campuran rasa di antara lada hitam dan kombinasi pedas, masam, masin serta manis.

Istimewanya hidangan ini dimasak basah dan sedikit berkuah, bukannya kering sebagaimana bihun Singapura yang lain.

Malah, mi dihidangkan bersama dengan udang dan diletakkan di atasnya yang sudah semestinya membuatkan sesiapa sahaja pasti terliur sebaik melihat menu ini.

 

Pengunjung juga boleh menukar udang kepada daging ataupun kerang bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Selain mi Singapura, pengunjung yang datang ke gerai ini juga wajib mencuba nasi goreng haria iaitu menu khas dan istimewa untuk penduduk di Kuala Lumpur.

Rasa hidangan ini sememangnya berbeza walaupun mempunyai rupa seakan-akan sama sebagaimana nasi goreng Cina.

Namun, ia diletakkan bunga kantan dicincang halus dan memberikan rasa sedikit masam serta mengeluarkan aroma yang mampu memecahkan selera makan sebagaimana daun limau purut atau daun kari.

Tidak lengkap sekiranya datang ke gerai ini tanpa mencuba char kuew tiau atau char mi. Hidangan yang mempunyai rasa lemak manis hasil campuran kicap dan sos khas ini cukup enak dimakan panas.

Pengunjung yang datang ke sini pasti berpuas hati dan tidak menyesal untuk kembali sekali lagi menikmati semua hidangan di Ady Hot Wok lebih-lebih lagi dengan harga cukup berpatutan iaitu hanya RM8 (untuk hidangan biasa) manakala RM12 (istimewa).

 

Dalam pada itu, pemilik yang juga tukang masak di gerai ini Hasmadi Sulaiman berkata,semua menu di gerai miliknya merupakan cetusan resipi milik ibunya yang berasal dari Sungai Nibong Pulau Pinang.

Dia yang berpengalaman sebagai chef di beberapa hotel terkemuka sebelum ini menggunakan kemahiran dan pengetahuan dengan menterjemahkan hasilnya di Ady Hot Wok.

“Saya mengetengahkan menu-menu tertentu yang majoritinya cukup sinonim di Pulau Pinang untuk dicuba penduduk di ibu kota atau kawasan sekitar.

“Walaupun menu tidak seberapa banyak sebagaimana di tempat lain, apa yang penting adalah kualiti dan kepuasan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN