KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri memantau secara rapi situasi banjir di Tawau yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.
Katanya, semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa banjir.
“Saya mahu semua agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Hajiji turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah.
Menurut beliau, keadaan ketika ini masih terkawal dengan semua agensi berkaitan berada di lapangan bagi menyelaras operasi bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Terdahulu, Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana pada pukul 8.30 pagi selepas beberapa kawasan perumahan dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Antara kawasan yang terjejas ialah Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshui dan Taman Sri Balung.
Jawatankuasa berkenaan kini sedang mengumpulkan maklumat jumlah mangsa yang terjejas bagi tujuan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diperlukan.
Sehingga pukul 11 pagi, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang menempatkan 96 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 335 mangsa. – UTUSAN










