AGAK sukar untuk mencari bufet Ramadan yang harganya di bawah RM100 pada zaman yang serba-serbi harga naik ini.
Namun kesukaran tersebut tidak bermakna anda tidak boleh menikmati makanan terbaik dengan pelbagai jenis menu.
Bufet Bazar Kampung Omak Den di Restoran Gastrohub, Nilai ini menghidangkan lebih 188 menu dengan hanya RM68 sahaja.
Apa yang menarik, walaupun harga rendah, semua makanan yang dihidangkan berkualiti dan premium setanding hotel bertaraf lima bintang.
Malah, keenakan rasa hidangan di sini tidak boleh dipertikai terutama menu seperti masak lemak daging salai Apollo dan tulang kambing masak kari.
Kedua-dua hidangan ini menjadi tumpuan pengunjung mahu menikmati keenakan dan kelembutan daging dimasak dengan resepi rahsia oleh Chef Norazman Al Junid.
Menu lain yang turut menjadi perhatian di sini adalah roti jala dan kari; kuetau goreng; serta kambing bakar terbang sos lada hitam dan nasi briyani gantung periuk.
Selain itu, turut disediakan pelbagai jenis juadah pembuka selera seperti hidangan kuih-muih termasuk juadah tradisional seperti tapai pulut, ubi dan beras serta bubur chacha dan pulut hitam yang cukup menyelerakan.
Dalam pada itu Norazman berkata, bufet Ramadan kali ini boleh memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa.
Harga dikenakan untuk dewasa adalah RM68 untuk hari biasa dan RM88 untuk hujung minggu. Bagi warga emas pula RM66, manakala kanak-kanak RM26 untuk setiap hari. –UTUSAN










