Waspada fitnah akhir zaman

Jejak Ulama: Waspada fitnah akhir zaman

MUHAMMAD MUAZ HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FITNAH pada asasnya membawa erti perbuatan mengejek seseorang dengan menyebarkan maklumat palsu berkait sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh individu yang menjadi mangsa.

Apapun, pengertian fitnah dalam Islam adalah lebih meluas iaitu pembohongan, menodai, godaan, syirik, penyesatan dan lain-lain yang memusnahkan moral kehidupan manusia.

Agama Islam melarang umatnya menyebar fitnah. Perbuatan ini digolongkan sebagai dosa besar karena membawa impak kerosakan ‘maknawi’ seorang manusia.

Berkongsi pandangan berkait fitnah akhir zaman, Mudir Madarasah al-Insaniyyah, Ustaz Muhammad Mu’az Hasbullah berkata, fitnah zaman dahulu amat berbeza berbanding dunia moden sekarang di mana sebarannya merentasi sempadan dan batasan.

Menurutnya, pembangunan dan teknologi maklumat masa kini telah menjadikan ‘jambatan’ fitnah berbanding sebelum ini yang hanya tersebar secara lisan berasaskan pertuturan atau bicara dari mulut ke mulut.

“Dunia tanpa sempadan kini lebih pantas menyebarkan fitnah. Hebat dengan hanya titipan tulisan, adunan gambar, video dan bahan bacaan bukan sekadar mencemarkan imej dan keaiban seseorang tetapi mempengaruhi orang lain untuk taksub dan mempercayai sumber kemungkaran yang disampaikan.

“Hanya dengan sebuah telefon pintar, fitnah tersebar pantas tanpa sempadan termasuk bahan-bahan tatapan yang boleh merosakkan akhlak, memusnahkan usaha ‘tholabulilm’ (menuntut ilmu yang bermanfaat) dan memusanahkan sifat ‘ubudiyah’ manusia terhadap Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Madrasah al-Insaniyyah wa Tahfizul Quran, Pantai Melawi, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Mengulas lanjut Muhammad Mua’az berkata, fitnah adalah suatu jenayah kerana ia merupakan sebaran cerita atau berita yang direka daripada peristiwa yang tidak benar dengan tujuan merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang.

MUHAMMAD MU’AZ HASBULLAH
Usia: 40 Asal: Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan
Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, Bachok, Kelantan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana, Bachok, Kelantan
Talaki – berguru dengan Tok Guru Haji Abdul Hamid, Pondok Gunung, Bachok Pondok Pengajian Islam Wilayah Selatan Thailand
Tugas hakiki: Mudir Madrasah Insaniyyah wa Tahfizul Quran, Pantai Melawi, Bachok, Kelantan

“Dalam perkataan lain, fitnah merupakan suatu perbuatan sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang serta memalsukan kebaikannya sehingga mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap seseorang.

“Islam menggambarkan fitnah sebagai satu kemungkaran dan perbuatan keji yang amat dilarang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke 191 yang bermaksud; ‘…dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

“Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina; yang banyak mencela; yang gemar menyebarkan fitnah.” (al-Qalam: 10-11).

Lebih berbahaya pada masa kini, kata Muhammad Mua’az, fitnah yang tampil turut meracuni pemikiran anak muda Islam yang terpengaruh dengan sebaran bahan pornografi, budaya kuning dan pelbagai maklumat yang dicapai menerusi laman web dan pelbagai media sosial.

“Kita tidak boleh menganggap fitnah itu berkisar perihal memburuk-burukkan imej dan perangai seseorang, malah maklumat dan isi kandungan bahan yang melalaikan, mengajak kemaksiatan dan kejahatan lagi menyesatkan dengan niat mengikis sifat ubudiyah (pengabdian dan ketaatan yang penuh terhadap perintah dan larangan Allah SWT),” katanya,

Tambahnya, oenyakit sosial kronik yang berlaku pada akhir zaman ini yang kebanyakannya segan untuk dibicarakan seperti isu sumbang mahram, zina, amang seksual dan pelbagai.

“Kes buang anak, durhaka kepada ibu bapa atau penagihan pil kuda dalam kalangan remaja juga berpunca daripada pengaruh fitnah yang berjaya mempengaruhi kalbu manusia,” katanya.

Menurut Muhammad Mu’az, selain membelakangi syariat mentaati suruhan dan larangan Allah SWT impak hubungan antara sesama manusia juga terjejas dengan wujudnya perbalahan dan perpecahan, kemurungan dan dendaman berpunca fitnah yang bercambah dalam kehidupan.

Muhammad Mu’az berkata, penyebar fitnah turut digolongkan sebagai orang fasik, di mana kesaksiannya tidak akan diterima hingga akhir zaman.

Katanya, dalam konteks mendepani fitnah akhir zaman umat Islam seharusnya saling nasihat menasihati, menjauhi perasangka buruk, mencari kesalahan orang lain atau melakukan penghinaan dan yang paling utama waspada dengan pelbagai fitnah di hujung jari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×