MENJAGA lidah dan tutur kata amat dituntut kerana deria yang dianugerahkan itu boleh membawa padah dan bahaya kepada manusia sekiranya gagal ditadbir, termasuklah mengumpat.
Paling dikhuatiri sekiranya lidah manusia yang menjadi fungsi utama pertuturan disalah gunakan untuk perbuatan ‘ghibah’ yang dilarang agama Islam.
Ramai yang tidak sedar, perbuatan mengumpat itu mengundang fitnah dan berdosa, walaupun sekecil-kecil umpatan.
Berkongsi pandangan berkait larangan ghibah, Imam Surau Muhammadiah Pauh Dara, Ustaz Rajab Yusoff berkata, ghibah membawa maksud mengumpat atau bercakap dan membicarakan keburukan serta keaiban seseorang di belakang empunya diri.
Menurutnya, dosa daripada perbuatan itu boleh membawa seseorang itu muflis pada hari kiamat kelak kerana pahala yang dimiliki orang yang mengumpat akan diberikan kepada orang yang menjadi mangsa umpatan.
“Allah SWT di dalam al-Quran menggambarkan manusia yang tidak menjaga lisan (lidah) seumpama memakan daging saudaranya yang telah mati.
“Perihal yang sama terkandung dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Muslim menceritakan seseorang yang muflis pahala kesan perbuatan mengumpat,” katanya ketika ditemui di Surau Muhammadiah Pauh Dara, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Menurutnya, Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
“Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang).” (Surah al-Hujurat ayat 12)
Rajab berkata, perbuatan yang dilarang itu tergolong dalam perilaku keji yang menjerumus manusia ke lembah dosa dalam membicara dan membuka keaiban seseorang sebagai modal perbualan.
“Keaiban sama ada aib diri sendiri apa lagi aib orang lain seharusnya ditutup. Lebih baik berdiam diri dan memanfaatkan lidah untuk berzikir serta melakukan amal makruf.
“Benar atau tidak umpatan terhadap seseorang sekali pun tanpa niat mencela adalah ditegah. Apa perlunya bersembang untuk menceritakan keburukan orang lain?,” katanya.
Beliau berkata, satu hadis yang diriwayatkan Imam al-Bazzar daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Bergembiralah barang sesiapa yang menyibukkan diri dengan aib dirinya sendiri daripada menyibukkan diri dengan aib-aib orang lain.”
Rajab berkata, jangan memandang remeh ketika berbual kerana bicara yang berlangsung mungkin terkait atau menyentuh keaiban seseorang bertukar menjadi umpatan malah menjurus kepada fitnah.
Katanya, alim ulama ada berpesan bahawa diam itu adalah ‘mahkota’ bagi orang alim dan perlindungan buat orang jahil.
“Mahkota bagi orang berilmu kerana dengan banyak bercakap boleh membawa orang berilmu tersebut kepada perasaan riak dan bangga diri.
“Perlindungan bagi orang yang jahil kerana dengan kurang bercakap dapat melindungi mereka daripada diketahui bahawa dia tidak mengetahui,”katanya.
Apapun, katanya, sementara hayat dikandung badan manusia masih berupaya memohon taubat kepada Allah SWT dan memohon kemaafan terhadap orang yang diumpat.
Tambahnya, bertaubatlah selagi punya kesempatan kerana Allah itu maha Pengampun.
“Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).”
(Surau al-An’am ayat 55) – UTUSAN










