Kesempurnaan ibadah korban bergantung pada niat

Kesempurnaan ibadah bergantung pada niat

MOHD. ADNAN GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Fadilat ibadah korban pada hari raya Aidiladha hingga hari-hari tasyrik seharusnya dihayati dalam pengertian yang luas berpaksikan nurani yang ‘mahmudah’.

Amalan ini membawa banyak pengajaran untuk memandu kehidupan manusia dalam konteks pengorbanan hakiki sebagaimana yang dituntut ajaran Islam.

Berkongsi pandangan berkaitan ibadah korban, Imam Tua Masjid Mukim Gong Chapa, Ustaz Mohd. Adnan Ghani berkata, ibadah ini membabitkan natijah hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia.

Menurutnya, kemampuan, keikhlasan, rukun yang ditetapkan syarie dan kaedah pelaksanaannya adalah paksi utama mencapai kesempurnaan ibadah korban.

“Mencapai kesempurnaan ibadah korban yang membabitkan penyembelihan dan pengaliran darah haiwan yang ditetapkan dengan niat hanya kerana Allah SWT tanpa membabitkan niat lain.

“Nilai atau harga bahagian dalam haiwan korban bukan ukuran yang nyata kecuali niat yang ikhlas dan kemampuan individu itu sendiri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Mohd. Adnan, agihan daging korban afdal diagihkan kepada Fakir (al-Fuqara), orang miskin (al-Masakin), amil, muallaf, riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan), gharimin (penghutang Muslim) dan orang yang berjuang kerana Allah serta musafir yakni ‘ibnus sabil’.

USTAZ MOHD. ADNAN GHANI
Usia: 61 Tahun
Sejarah pendidikan:
 Sekolah Menengah Semerak, Kelantan
 Pondok Pengajian Islam, Sungai Durian, Kuala Krai
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) (Tafakuh fiddin)
Tugas hakiki:
 Imam Tua Masjid Mukim Gong Chapa, Pasir Puteh, Kelantan
 Penceramah mingguan 10 masjid/surau di Pasir Puteh.

Apa pun, katanya, jiran tetangga juga tidak diabaikan dalam mengukuhkan persaudaraan namun tiada hak untuk dihulurkan kepada bukan Muslim berasaskan ketetapan hukum dan nas.

“Ibadah korban boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan lazimnya seseorang yang mempunyai hasrat melaksanakan ibadah korban akan menyempurnakan di kariah tempat tinggal atau di tempat dia bekerja dan mencari pendapatan.

“Justeru afdal juga agihan daging korban diagihkan di persekitaran kariah tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Menurut Mohd. Adnan, ibadah korban adalah sebahagian ibadah yang melibatkan pemberian manfaat kepada orang Islam yang lain sebagaimana membuat kebajikan seperti menunaikan kewajipan zakat atau bersedekah.

Justeru, katanya, keikhlasan seseorang adalah paksi utama untuk kesempurnaannya, apa lagi pengorbanan ini bermula dengan niat kerana Allah SWT.

Beliau berkata, ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud .”
(Surah Luqman, ayat 22)

Menurutnya, firman Allah SWT yang membawa maksud bahawa apabila seseorang insan itu dapat memelihara dirinya daripada dipengaruhi sifat bakhil, mereka adalah kalangan manusia yang berjaya yakni tidak kikir dalam menegakkan syiar Islam.
(Surah al-Hasyr ayat 9)

Mohd. Adnan berkata, banyak pengajaran yang tersurat dan tersirat apabila ibadah korban yang dilaksanakan selain pasrah dengan kebesaran Allah SWT dan menghayati ketaatan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, nabi Ismail AS terhadap perintah-Nya.

“Semangat bekerjasama dan bergotong-royong melapah daging korban adalah sebahagian bukti yang menyerlahkan peri perlunya hidup bersatu padu dan saling membantu.

“Agihan daging kepada orang miskin juga terutama dalam kariah sendiri akan menambah tautan kasih sesama manusia dan wujud nilai hidup harmoni yang saling hormat menghormati,” katanya.
Ibadah korban ini, katanya, harus dikembangkan dalam skop yang luas untuk membantu umat Islam di negara miskin dan saudara seagama yang dihimpit penderitaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN