Apabila sebut 'kita jumpa di padang Mahsyar'

Apabila sebut ‘kita jumpa di padang Mahsyar’

SYEIKH MOHD. NAIM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JANGAN sesekali menzalimi atau menyakiti sesama insan dalam bentuk apa sekali pun kerana manusia paling malang adalah yang terpaksa membawa permohonan maaf kepada orang yang kita zalimi atau sakiti itu ke Padang Mahsyar.”

Demikian nasihat Imam Besar Masjid Zahir di Alor Setar, Syeikh Mohd. Naim Ahmad ketika berbicara tentang hubungan sesama makhluk Tuhan yang menjadi antara asbab kepada ‘muflisnya’ mereka di akhirat kelak.

Agamawan berusia 40 tahun ini menyentuh tentang kecenderungan sesetengah orang melontarkan kata-kata keji dan kecaman termasuk fitnah di media sosial tanpa sedikit pun memikirkan tentang hukum atau kifarah.

“Di atas dunia ini jika menzalimi atau menyakiti seseorang namun tidak sempat memohon maaf, itu adalah perkara paling malang. Maka hati-hatilah jika seseorang itu terzalimi dengan perbuatan kita dan dia berkata pula ‘saya tidak maafkan kamu kita akan bertemu di akhirat’. Ungkapan ini bahaya,” tegasnya.

Beliau menambah, dalam satu hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabat. ‘Tahukah kamu siapa itu orang yang muflis? Maka jawab sahabat, Orang muflis itu menurut kami orang yang tiada wang dan tiada harta padanya’.

“Maka sabda Nabi SAW, ‘Sesungguhnya muflis dalam kalangan umatku adalah seorang yang datang di hari akhirat nanti dengan pahala solatnya, puasanya dan zakatnya namun dia juga sering mengeji orang lain, memfitnah, memakan harta orang lain, menjadi penyebab pertumpahan darah dan memukul orang lain.

“Maka diambil semua pahalanya olehorang yang telah dizaliminya, sehingga habislah akan segala pahalanya dan setelah habis akan pahalanya maka diambil pula dosa segala orang yang dizaliminya dan setelah itu dihumbannya ke dalam neraka. Ini hadis sahih Imam Muslim,” ujar beliau.

Banyak yang mengambil ringan hubungan sesama makhluk Tuhan hari ini, kata beliau, walaupun memahami peri pentingnya perkara itu sehingga ia disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran dan hadis.

“Contohnya, hari ini kita lihat kelancangan netizen menyuarakan pandangan dan disulami dengan bahasa kesat dan tidak bertapis termasuk kepada golongan alim ulama. Dengan godaan hawa nafsu bisikan syaitan mereka terlupa asal usul kepada keberadaan kita di muka bumi ini,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar, semua umat Islam mengambil sikap saling memohon maaf dan memaafkan kerana perkara itu menjadi tuntutan dalam Islam.

“Kalau orang itu mengeji ke atas orang lain, contohnya, permohonan maaf dia kepada orang itu hanya sah sehingga orang yang dia sakiti itu masih hidup.

“Kalau dia sudah meninggal dunia, ada panduan daripada Imam Al Ghazali iaitu bagaimana orang yang menzalimi itu tidak sempat mohon maaf maka dia perlu berbuat kebajikan seperti sedekah dengan niat disedekahkan pahalanya kepada orang itu.

“Bagaimana jika orang itu masih hidup namun dia tidak mahu maafkan kita? Kita kena usahakan juga sampai dia mahu maafkan kita. Kaedahnya bersedekah dan pahala sedekah itu dihadiahkan kepadanya selain kita harus berusaha memohon maaf dan berdoa melembutkan hatinya. Demikian perihal besarnya perkara ini tetapi banyak yang memandang remeh,” katanya.

Beliau juga menasihatkan semua agar sentiasa bermunasabah termasuk menjauhkan perbuatan menzalimi atau menyakiti orang lain walaupun sekadar melalui kata-kata yang ditulis masing-masing di media sosial.

“Janganlah kita muflis di akhirat yang kekal itu semata-mata perkara itu yang anda anggap remeh,” katanya.

BIODATA

SYEIKH MOHD. NAIM AHMAD
Tempat lahir: Tualak Padang Terap Kedah
Pendidikan:
• Maktab Mahmud
Alor Setar
• Universiti Islam
Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah
• Universiti Al Azhar, Kaherah
Jawatan: Imam Besar Masjid Negeri, Masjid Zahir Alor Setar Kedah

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN