Belajar daripada guru mursyid - Utusan Malaysia

Belajar daripada guru mursyid

Ustaz Muham­mad Danish Safuwan Jafri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU adalah paksi untuk mengukuhkan akidah dan ibadah iaitu dua perkara yang dituntut agama. Justeru, ilmu perlu ditimba dengan guru yang mursyid termasuk ke masjid atau surau yang mengatur jadual pengajian berkaitan.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Muda Masjid Darulnaim Mukim Telosan, Ustaz Muham­mad Danish Safuwan Jafri berkata, mana mungkin me­nyem­purnakan ibadah tanpa pengetahuan dan ilmu yang sepatutnya dipelajari terlebih dahulu.
Katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ilmu itu adalah imam dan amal itu adalah makmum,” sebagaimana tinta Abu Nu’aim dalam kitab al-Hilyah (1/127), Ibn Abdil Bar dalam Jami’ Bayan al-`Ilm wa Fadhlihi dan lain-lain yang menunjukkan pentingnya ilmu untuk pengukuhan akidah dan memantapkan kesempurnaan beribadat kepada Allah SWT.
“Perkara awal dalam agama adalah mengenal sifat Allah SWT. Makrifat yang membawa maksud mengenal, melihat dan memandang Allah. Mengenal Allah dalam erti kata sebenar yang bukan setakat mendengar perkhabaran, gambaran atau khayalan. Malah mengenal-Nya secara nyata dan jelas yang tidak berbelah bahagi.
“Hal ini turut dibicarakan dalam kitab Matan An Umul Barohim yang menyatakan manusia kena kenal makrifat bagi pengukuhan iktikad dengan dalil-dalil kukuh,” katanya di Masjid Darulnaim Mukim Telosan, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Katanya, sesibuk mana pun kehidupan duniawi manusia wajib mendalami tiga bidang keilmuan iaitu ilmu akidah, fekah dan tasawuf.
Menurutnya, akidah dari aspek bahasa bererti simpulan iman atau pegangan kuat dengan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dan akidah Islam mencakupi keyakinan dan kepercayaan terhadap Allah SWT dan beriman dengan nama-nama-Nya, segala sifat-Nya, beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari akhirat dan beriman dengan qada dan qadar-Nya.
“Akidah sebenar adalah berlandaskan kepada al-Quran dan As-Sunnah. Beriman dengan Allah mencakupi yakin adanya Allah SWT, yakin keesaan-Nya, yakin Allah bersifat dengan segala kesempurnaan, suci daripada segala kekurangan dan tidak menyerupai segala yang baharu,” katanya.
Ilmu fekah atau Fiqh, katanya, ditakrifkan alim ulama sebagai ilmu berkait hukum syarak yang bersifat amali yang diperoleh daripada dalil-dalilnya secara terperinci termasuk mengenai tingkah laku manusia dan pelaksanaan hukum-hukum dalam kehidupan.
“Ilmu tasawuf pula adalah suatu ilmu penyucian jiwa yang mendidik manusia untuk lebih mengenali Allah dan membantu memelihara seluruh pancaindera untuk tunduk kepada iman, takwa dan menjauhi hawa nafsu.
“Syeikh Muhammad Amin al-Kudri dalam kitab Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Alam al-Ghuyub mendefinisikan tasawuf sebagai hal ehwal kebaikan dan keburukan jiwa, cara membersihkannya dan mengisinya dengan sifat serta akhlak yang terpuji, cara melaksanakan suluk dan perjalanan menuju keredaan Allah dan meninggalkan larangan-Nya,” katanya.
Muhammad Danish Safuwan berkata, belajar ilmu ukhrawi perlu sepanjang hayat dan jangan memandang remeh terhadap tuntutan ini kerana dengannya ia akan mengukuhkan amal, bukan melaksanakan sesuatu dengan hanya meniru atau mengikut tanpa belajar dan berguru.
Katanya, umat Islam perlu merujuk kepada guru mursyid yang berakidah ahli Sunnah Wal Jamaah, hadir ke masjid dan surau yang mengajar ilmu akidah yang menggunakan kitab seperti Baquratul Amani, Durus samin, Akidatul Najim dan banyak lagi kitab jawi peninggalan alim ulama yang muktabar.
“Ilmu tauhid juga meru­pakan di antara syarat sah diterima ibadat baik solat, puasa, zakat, haji, syahadah, berzikir dan lain-lain. Imam al-Ghazali ada menyatakan tidak sah ibadat itu kecuali setelah dia mengetahui Tuhan yang disembah yang memberi pengertian belajar ilmu agama itu adalah satu keutamaan,” katanya.
Menurutnya, tidak salah mempelajari ilmu agama menerusi sesawang, portal atau pelbagai rangkaian media sosial tetapi perlu merujuk kepada guru yang mursyid.
Sebaik-baik amal dalam mempelajari sesuatu bidang agama perlu bersemuka dengan guru untuk mengesah dan memperbetulkan sumber diperoleh, malah ganjaran pahala menghadiri majlis ilmu ‘di taman syurga’ adalah lebih tinggi berbanding secara bersendirian.

Ustaz MUHAMMMAD DANISH SAFUAN JAFRI
» Usia: 24 tahun
» Asal: Kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan
» Sejarah pendidikan:
Maahad Tahfiz Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan (2017)
Pondok Moden Kandis, Bachok, Kelantan (2018-2020)
Pondok Seri Permai, Seligi, Pasir Puteh, Kelantan (terkini)
» Tugas hakiki:
Imam Muda Masjid Darulnaim, Telosan, Pasir Puteh, Kelantan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya